KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Seorang guru lelaki yang sedang menjalani hukuman penjara dan sebatan berkaitan kesalahan seksual, kini disiasat semula selepas dipercayai terbabit dalam kes amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki di sebuah sekolah di Desa Pandan, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Mohamad Lazim Ismail berkata laporan terbaharu itu diterima pada 12.27 tengah hari, Selasa lepas daripada seorang lelaki berusia 40 tahun yang merupakan bapa kepada mangsa.
“Mangsa berusia 13 tahun itu memberanikan diri memaklumkan kepada keluarga untuk tampil membuat laporan selepas mengetahui suspek telah dituduh dan dijatuhi hukuman penjara berhubung kes amang seksual fizikal terhadap murid lain sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa memaklumkan telah mengenali suspek sebagai seorang guru di sebuah sekolah di Desa Pandan dan mendakwa telah beberapa kali diliwat oleh individu berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.
Beliau berkata semakan mendapati guru terbabit sedang menjalani hukuman penjara selama lapan tahun serta enam sebatan selepas disabitkan kesalahan bagi dua kes amang seksual fizikal sebelum ini.
Sehubungan itu, Mohamad Lazim menasihati individu lain yang mungkin menjadi mangsa supaya tampil membuat laporan kepada pihak polis bagi membantu siasatan lanjut.
Pada 5 Jan lepas, Bernama melaporkan suspek berusia 40 tahun itu dihukum penjara lapan tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berusia 11 tahun.
Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan serta memerintahkan hukuman berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap pada 25 Dis 2025.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani khidmat kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan serta pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman, manakala mangsa diperintah menjalani sesi kaunseling dan diletakkan di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
-- BERNAMA