Oleh Fadzli Ramli
KOTA KINABALU, 6 Feb (Bernama) -- Langkah memberi peluang kanak-kanak berusia enam tahun memasuki tahun satu menerusi Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 dilihat inisiatif penting memperkasakan pendidikan negara, tidak terkecuali di Sabah, ke arah lebih holistik dan berdaya saing.
Bercakap kepada Bernama, golongan pendidik berpendapat pelaksanaan inisiatif itu akan mengurangkan masalah keciciran murid, meningkatkan capaian pendidikan dan membentuk modal insan berkualiti daripada usia muda, sekali gus merapatkan jurang standard pendidikan antara negeri.
Pensyarah Kanan Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Juppri Bacotang berkata dasar itu juga pelaburan jangka panjang yang mampu memberi pulangan sosial serta ekonomi kepada Sabah dan negara.
Dalam konteks Sabah, beliau berkata dasar itu pemangkin bagi kerajaan meneliti semula keperluan infrastruktur di kawasan luar bandar dan pedalaman memandangkan peningkatan enrolmen murid secara langsung menuntut penyediaan fasiliti yang lebih kondusif dan penambahan kelas.
“Pelaksanaan ini menuntut keseimbangan sumber. Penambahan guru terlatih dalam pendidikan awal kanak-kanak amat kritikal bagi memastikan nisbah guru-murid yang ideal supaya perhatian kepada setiap murid lebih mudah yang akan memperkasakan pendidikan Sabah,” katanya.
RPN 2026-2035 dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Jan diterajui bersama-sama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 serta Kementerian Pendidikan menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035.
Juppri berkata dasar itu juga memberi manfaat besar dalam menyeragamkan tahap pendidikan awal dan dengan persediaan serta penilaian menyeluruh merangkumi aspek kognitif, emosi, sosial, fizikal dan bukan akademik semata-mata, aspirasi dasar itu dapat dicapai.
“Pendekatan learning through play (belajar melalui bermain) wajar terus menjadi teras dalam kurikulum bagi memastikan murid enam tahun dapat membina karakter positif seperti disiplin dan keyakinan diri tanpa merasa tertekan dalam persekitaran formal sekolah rendah,” katanya.
Menyentuh mengenai ketersediaan pengajar, Juppri berkata UMS bersedia memainkan peranan strategik dengan melahirkan graduan guru yang kompeten, berpengetahuan serta memahami realiti sosiobudaya pendidikan di Sabah untuk menyokong pelaksanaan dasar itu.
Beliau merumuskan dasar kemasukan awal itu mampu menjadi mekanisme ampuh memperkukuh ekosistem pendidikan negara, asalkan disokong oleh perancangan kewangan yang rapi dan komitmen jitu semua pihak terhadap kesejahteraan perkembangan kanak-kanak.
Bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh, Keningau, Yazid Mohd Hasnan Tawik@Charles berkata pendekatan berfasa pelaksanaan dasar itu langkah realistik dan wajar bagi memastikan kawasan luar bandar serta pedalaman di Sabah tidak terbeban dengan kekangan infrastruktur sedia ada.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor itu berkata keputusan memberi pilihan kepada ibu bapa dalam pelaksanaan dasar membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap tahap kesediaan murid, ibu bapa dan fasiliti sekolah di kawasan yang masih berdepan kekurangan prasarana asas, terutamanya di Sabah.
“Kejayaan dasar ini di Sabah amat bergantung kepada persiapan rapi yang melibatkan penambahan bilik darjah dan pusat prasekolah serta penempatan guru terlatih yang mencukupi bagi memastikan akses pendidikan di kawasan pedalaman setanding kawasan bandar,” katanya.
Dalam pada itu, Yazid menyokong penuh langkah penyelarasan keseluruhan sistem prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan menyifatkannya sebagai mekanisme kritikal bagi menjamin kualiti kurikulum dan latihan guru setara di seluruh negara tanpa mengira sosioekonomi murid.
“Langkah ini sejajar dengan aspirasi RPN 2026-2035 yang menekankan pengukuhan pendidikan awal sebagai tunjang pembangunan modal insan, sekali gus mampu melahirkan generasi pelapis lebih berdaya saing dan bersedia mendepani cabaran pendidikan yang semakin kompleks,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) Prof Datuk Dr Ramzah Dambul berkata perdebatan terbuka dalam kalangan rakyat mengenai dasar itu perkembangan sihat membuktikan pendidikan amat dekat di hati rakyat dan menjadi sendi terpenting pembangunan negara.
“Walaupun pelan ini mungkin tidak mampu memenuhi selera unik setiap individu secara spesifik, semua pihak wajar menghormati proses libat urus yang telah dijalankan secara terperinci kerana ia melambangkan cita-cita kolektif negara yang telah dimurnikan melalui pelbagai fasa perbincangan.
“KPM jangan menoleh ke belakang (sebaliknya) jalan terus (melangkah ke hadapan). Meskipun pelan baharu itu mengundang pelbagai reaksi berbeza daripada masyarakat,” katanya.
Beliau menegaskan apabila keputusan muktamad telah dibuat, kerajaan perlu memiliki iltizam yang kuat untuk terus berada di landasan terbaik dalam pelaksanaan tanpa berbolak-balik bagi memastikan hala tuju pendidikan negara kekal jelas dan tidak terganggu dengan perbezaan pendapat yang bersifat lumrah.
-- BERNAMA