AM

Program Sekolah Angkat MADANI Bernilai RM1.3 Juta Untuk 38 Sekolah Siap - LTAT

06/02/2026 10:04 PM

KOTA TINGGI, 2 Feb (Bernama) -- Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bersama-sama kumpulan syarikat kumpulannya telah menyiapkan Program Sekolah Angkat MADANI yang melibatkan sumbangan sebanyak RM1.3 juta, merangkumi 38 sekolah di kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seluruh negara.

Menurut LTAT dalam kenyataan, penambahbaikan itu merangkumi peningkatan prasarana pembelajaran, penggunaan peralatan pengajaran digital, penambahbaikan ergonomik bilik darjah serta penyediaan kemudahan berfokuskan pelajar

Pencapaian ini menandakan kemuncak satu inisiatif berskala nasional yang telah memberikan manfaat secara langsung kepada lebih 24,000 pelajar, majoritinya terdiri daripada anak-anak warga ATM.

“Dengan selesainya fasa ini, LTAT menegaskan komitmen berterusannya untuk bukan sahaja melindungi masa depan sosioekonomi para pencarum ATM, malah memastikan kesejahteraan pendidikan dan sosial keluarga mereka terus terpelihara, sejajar sepenuhnya dengan aspirasi nasional di bawah kerangka MADANI,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Majlis penutup program itu berlangsung di Sekolah Kebangsaan Tanjung Pengelih (SKTP) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Pengelih (SMKTP), yang disempurnakan oleh Ketua Eksekutif LTAT  Mohammad Ashraf Md Radzi.

Di Tanjung Pengelih, pelaksanaan program yang diselaraskan oleh IRAT, syarikat subsidiari di bawah LTAT, memberikan tumpuan kepada penambahbaikan Bilik Darjah Pintar di kedua-dua sekolah.

Penambahbaika itu merangkumi peningkatan prasarana pembelajaran, penggunaan peralatan pengajaran digital, penambahbaikan ergonomik bilik darjah serta penyediaan kemudahan berfokuskan pelajar.

Menurut LTAT, secara keseluruhan, hampir RM100,000 dilaburkan khusus bagi sekolah-sekolah di Tanjung Pengelih, meliputi kerja-kerja pengubahsuaian bilik darjah, perolehan peralatan digital, kemudahan pembelajaran, pelaksanaan program serta aktiviti libat urus warga sekolah.

Semasa lawatan itu, Mohammad Ashraf turut melawat kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SMK Tanjung Pengelih dan menyampaikan cek cura sebagai simbolik sumbangan empat unit penyaman udara tambahan, melengkapi penambahbaikan infrastruktur sedia ada bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif untuk murid berkeperluan khas.

Lawatan itu turut mencerminkan semangat kerjasama erat dalam komuniti ATM, dengan sokongan daripada Kem KD Sultan Ismail serta penajaan oleh IRAT.

Turut hadir Pegawai Pemerintah Kem KD Sultan Ismail Kepten Hazlan Hazumi TLDM, serta wakil  Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi,

Mengulas mengenai kejayaan itu, Mohammad Ashraf berkata penyempurnaan Program Sekolah Angkat MADANI di 38 sekolah bukan sekadar penutup kepada satu inisiatif, tetapi merupakan manifestasi keyakinan bahawa setiap anak anggota tentera wajar menerima persekitaran pembelajaran yang mampu menyemai inspirasi, keyakinan diri dan cita-cita.

“Apabila kita melabur dalam pendidikan, kita sebenarnya melabur untuk masa hadapan. Inisiatif ini bertujuan membina asas kukuh dari segi sahsiah, peluang dan harapan agar anak-anak mereka yang mempertahankan negara dapat bermimpi lebih besar dan melangkah lebih jauh,” katanya.

Program Sekolah Angkat MADANI telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk  Seri Anwar Ibrahim pada 20 Jun 2025, sebagai inisiatif nasional bagi memperkukuh pendidikan, kesejahteraan sosial dan daya tahan komuniti.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2521105