JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Pasangan Suami Isteri Didakwa Tipu Pelaburan Unit Amanah

06/02/2026 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Seorang bekas perunding unit amanah dan bekas isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu berkaitan pembelian pelaburan unit amanah berjumlah RM20,000, tiga tahun lepas.

Amran Mohd Amin, 59, dan Nadihah Nawi, 35, yang sebelum ini ejen unit amanah didakwa bersama-sama secara tidak langsung melibatkan diri dalam penipuan terhadap dua individu berhubung suatu pelaburan oleh Kenanga Investors Bhd sehingga menyebabkan mereka membeli cek masing-masing bernilai RM10,000 bagi tujuan pelaburan.

Cek itu sebaliknya digunakan untuk membeli unit amanah di dalam akaun Nadihah di Kenanga Investors Bhd, Kenanga Tower di Jalan Tun Razak di sini antara 20 Jan dan 27 Jun 2022.

Mereka didakwa mengikut Subseksyen 179 (b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 182 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti (SC) Adibah Saiful Bahri memohon mengguna pakai jaminan RM70,000 bagi Nadihah dan RM20,000 bagi Amran, masing-masing dengan dua penjamin seperti telah ditetapkan mahkamah sebelum ini.

“Pendakwaan juga mohon mahkamah mengekalkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Sekuriti di Kuala Lumpur sebulan sekali sehingga kes selesai,” katanya yang mengendalikan kes bersama-sama Pegawai Pendakwa Sharifah Noor Effah Syed Ahmad Fuad.

Hakim Izralizam Sanusi mengekalkan jumlah jaminan itu dengan dua penjamin bagi Nadihah dan Amran serta syarat tambahan sama seperti sebelum ini serta menetapkan 2 April untuk sebutan semula kes.

Pada prosiding hari ini, Nadihah diwakili peguam Azrul Hasyimi Mohammad manakala Amran diwakili peguam Nor Azri Mohd Arif.

Pada 8 Sept 2025, Amran dan Nadihah masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan serupa melibatkan kerugian RM20,000.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2520791