AM

Lebih 27,000 Veteran ATM Terima Faedah Kesihatan Dan Kebajikan

05/02/2026 02:00 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Lebih 27,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima bantuan kesihatan dan kebajikan bernilai RM303 juta pada tahun lepas, termasuk rawatan perubatan untuk diri sendiri serta tanggungan mereka.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata daripada jumlah itu, sebanyak 18,554 veteran berpencen mendapat bantuan rawatan kesihatan bernilai RM74 juta manakala 8,427 veteran tidak berpencen menerima RM39 juta.

“Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV) bertanggungjawab menyediakan khidmat setempat bagi warga veteran, termasuk penyediaan kemudahan perubatan untuk mereka dan tanggungan. 

“Sejajar dengan itu, JHEV menjalinkan kerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memudahkan dan memastikan perkhidmatan kesihatan kepada veteran disampaikan dengan sebaik mungkin,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang ingin tahu jumlah peruntukan bantuan rawatan kesihatan dan kebajikan yang diberikan kepada veteran ATM pada 2025.

Selain itu, Adly berkata kerajaan turut menyalurkan bantuan bernilai RM190 juta melalui Bantuan Sara Hidup kepada anggota veteran ATM termasuk RM500 sebulan untuk setiap veteran tidak berpencen dengan tambahan RM300 sebulan bagi mereka yang berada di bawah paras kemiskinan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2520382