NABAWAN, 7 Feb (Bernama) -- Sebanyak 225 Renjer Komuniti dilantik di Sabah tahun ini menerusi peruntukan RM8.46 juta daripada Kerajaan Persekutuan dalam usaha memperkukuh perlindungan khazanah alam negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada peruntukan RM80 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 bagi melantik 2,500 Renjer Komuniti di seluruh negara menerusi Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3).
“Peranan Renjer Komuniti amat kritikal kerana kemahiran mereka dalam selok-belok hutan membantu pihak berkuasa membanteras pencerobohan, pembalakan haram dan pemburuan haram.
“Sekiranya tindakan luar biasa tidak dilakukan sekarang, tidak mustahil Malaysia akan kehilangan spesies ikonik buat selama-lamanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Arthur berkata sebanyak 904 rakyat tempatan dan 294 warga asing telah ditahan sepanjang pelaksanaan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dari 2019 hingga Disember tahun lepas.
Katanya nilai barangan yang dirampas pula mencecah RM413.1 juta, manakala 2,838 jerat haiwan berjaya dimusnahkan bagi melindungi spesies ikonik seperti orang utan, banting (lembu hutan) Borneo dan gajah Borneo.
Beliau berkata sehingga kini 217 Renjer Komuniti telah ditempatkan di 18 pos rondaan di kawasan strategik di Sabah seperti Keningau, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan, Tawau, Tenom dan Sipitang.
Arthur berkata antara inovasi membanggakan adalah penubuhan pasukan SMART Analyst yang terdiri daripada Renjer Komuniti wanita bagi mengurus data hotspot jenayah hutan secara komprehensif.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata 15 orang Renjer Komuniti akan dilantik khusus untuk kawasan Pagalungan dan Pensiangan.
--BERNAMA