AM

HKI 2026 Tawar Pengalaman e-Sukan, Motorhome Bernama Curi Tumpuan

08/02/2026 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 di Astaka Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini bukan sekadar menyediakan ruang rujukan mengenai keselamatan Internet, malah turut menawarkan pengalaman bermain permainan e-sukan secara langsung di reruai NADI e-Sukan.

Tinjauan Bernama mendapati pengunjung berusia antara lapan hingga 18 tahun memenuhi reruai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang menyediakan permainan simulasi perlumbaan (sim racing), Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan PlayStation 5 (PS5).

Pengunjung Raisha Arissa Mohd Ramzan, 12, berkata memilih permainan sim racing kerana merasakan permainan itu memberikan pengalaman seolah-olah memandu secara nyata.

“Saya minat kerana seperti sedang berlumba betul-betul. Walaupun tiada peralatan khas, tetapi rasa kawal stereng dan gear itu membuatkan pengalaman itu seperti sebenar,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu.

Raisha Arissa berkata minat terhadap permainan itu tercetus selepas diperkenalkan oleh abangnya.

Sementara itu, Muhammad Harith Nor Azman, 17, yang memilih permainan MLBB berkata hadiah yang ditawarkan menjadi dorongan utama kepadanya dan rakan untuk mencuba nasib sekali gus menguji kemahiran sebagai sebuah pasukan. 

“Bila tahu ada hadiah, rasa lebih tercabar. Alhamdulillah, kami dah layak ke peringkat playoff dan kini menyasarkan untuk memperoleh kedudukan empat atau tiga teratas,” katanya.

Muhammad Harith berkata MLBB menawarkan kelainan berbanding permainan lain kerana memerlukan kerjasama berpasukan untuk mencapai kemenangan, sekali gus menjadikan pengalaman bermain lebih mencabar dan menyeronokkan.

“Kalau permainan lain kita boleh bermain bersendirian, tetapi MLBB memerlukan pasukan atau jika tidak, susah untuk menang,” katanya.

Sementara itu, di reruai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), pengunjung berpeluang menyaksikan sesi temu bual secara langsung dari luar studio menerusi kemudahan kenderaan rekreasi atau motorhome yang dibawakan khas hari ini.

Penyelaras Produksi Bernama Mobile Studio Muhammad Syukri Khairulannuar berkata ia memberikan pengunjung perspektif tentang pengoperasian Bernama dalam menjalankan sesi temu bual dan liputan berita.

“Di luar motorhome akan ada paparan televisyen yang menyiarkan siaran suara dari dalam, membolehkan mereka mengikuti perbincangan dengan jelas,” katanya.

Bertemakan “Teknologi Pintar, Pilihan Selamat: Penggunaan Al Secara Selamat dan Bertanggungjawab”, HKI anjuran Kementerian Komunikasi dan diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menawarkan panduan praktikal bagi mewujudkan persekitaran digital lebih selamat untuk anak-anak.

HKI 2026 diadakan sempena Hari Keselamatan Internet Antarabangsa yang disambut setiap tahun di lebih 170 negara bertujuan mempromosikan penggunaan Internet yang selamat, bertanggungjawab dan positif, khususnya dalam kalangan kanak-kanak serta golongan muda.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2521548