DUNIA

Seguro Isytihar Kemenangan Dalam Pusingan Penentu Pilihan Raya Presiden Portugal

09/02/2026 10:42 AM

LISBON, 9 Feb (Bernama-Xinhua) -- Calon Parti Sosialis berhaluan kiri tengah, Antonio Jose Seguro mengisytiharkan kemenangan dalam pusingan kedua pilihan raya presiden Portugal pada Ahad, lapor Xinhua.

Menurut data daripada Kementerian Dalam Negeri Portugal, 99 peratus undi telah dikira setakat ini, dengan Seguro memenangi 66.7 peratus undi manakala pemimpin parti sayap kanan Chega, Andre Ventura, memperoleh 33.3 peratus. Ventura telah mengaku kalah.

Presiden yang akan tamat tempoh perkhidmatan, Marcelo Rebelo de Sousa, mengumumkan bahawa beliau telah menghubungi Seguro untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan pilihan raya tersebut.

Dalam satu kenyataan yang diterbitkan di laman web Presidensi, de Sousa juga memaklumkan bahawa beliau akan menerima kunjungan Seguro di Istana Belem pada petang Isnin.

Menurut kenyataan itu, de Sousa mendoakan Seguro "segala kejayaan dan memenuhi mandat yang diamanahkan oleh rakyat Portugal, yang akan bermula pada 9 Mac," serta menyatakan kesediaan penuh beliau untuk memastikan peralihan institusi berjalan lancar.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2521708