Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin selepas Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia bagi Disember mencatatkan prestasi yang mengatasi jangkaan pasaran, sekali gus menunjukkan ekonomi domestik kekal di kedudukan kukuh.
Pada 6 petang, ringgit meningkat 0.33 peratus kepada 3.9325/9375 berbanding dolar AS daripada 3.9440/9525 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang pasaran yang sedang pesat membangun kebanyakannya mengukuh berbanding dolar AS hari ini.
“Terdapat sentimen minat risiko di Asia susulan keputusan pilihan raya di Thailand dan Jepun, yang mendorong pelabur menjadi lebih positif terhadap mata wang Asia.
“Oleh itu, ringgit dijangka kekal disokong dengan baik dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.
Semasa akhir dagangan, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.
Ringgit lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 2.5104/5137 daripada 2.5111/5167 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas, dan meningkat berbanding pound British kepada 5.3482/3550 daripada 5.3548/3663.
Bagaimanapun, unit tempatan turun berbanding euro kepada 4.6647/6707 daripada 4.6508/6608.
Ringgit didagangkan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit domestik mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.72/6.74 daripada 6.73/6.75 pada minggu lepas namun, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0979/10.21 daripada 3.0965/1034.
Ringgit turun berbanding rupiah Indonesia kepada 234.0/234.4 daripada 233.6/234.3 pada Jumaat lepas, dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.5876/6101 daripada 12.4609/4933.
-- BERNAMA