KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata Aliesha Hanni Abdullah, 17, kali terakhir dilihat di rumahnya di Apartment Laguna Biru 1, Taman Tasik Biru Kundang Rawang, Selangor kira-kira 10 pagi.
“Remaja itu berketinggian 155 sentimeter dengan berat 57 kilogram dan berambut lurus paras bahu. Kali terakhir, dia dilihat berpakaian kemeja-T lengan panjang warna gelap, seluar jean biru gelap dan berkasut warna putih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bapa Aliesha Hanni telah membuat laporan kehilangan remaja itu pada 11.22 pagi semalam.
Orang ramai yang menjumpai atau mempunyai maklumat tentang keberadaan remaja berkenaan dimohon menghubungi Sarjan Muhamad Rais Azmi melalui talian 016-9495707 atau menghubungi balai polis berdekatan.
-- BERNAMA