DUNIA

India, Malaysia Perhebat Kerjasama Ekonomi Susulan Pertemuan Modi Dan Peneraju Industri

09/02/2026 12:23 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri India Narendra Modi mengadakan siri pertemuan peringkat tinggi dengan pemimpin korporat terkemuka Malaysia semasa lawatan beliau ke Malaysia baru-baru ini, bertujuan memperluas kerjasama ekonomi dua hala merentas sektor pertumbuhan utama, menurut Kementerian Hal Ehwal Luar (MEA) India. 

Menerusi hantaran di Facebook, MEA menyifatkan pertemuan itu sebagai interaksi produktif dengan peneraju industri Malaysia bagi meneroka perkongsian baharu serta peluang pelaburan yang selari dengan ekonomi India yang berkembang pesat dan agenda pembaharuannya.

Modi bertemu Tan Sri Vincent Tan, pengasas Berjaya Corp Bhd, dengan kedua-dua pihak meneroka peluang dalam sektor hospitaliti, perkhidmatan makanan, peruncitan, teknologi kewangan (fintech) dan teknologi bersih.

Menurut MEA, Berjaya telah mempunyai kehadiran kukuh dalam sektor hospitaliti India dan Tan menyatakan hasrat untuk memperluas lagi operasi Berjaya dalam pasaran perkhidmatan dan pengguna India yang dinamik.

Perdana Menteri itu turut bertemu pengasas Phison Electronics Datuk Pua Khein Seng, yang dikenali sebagai pencipta pemacu kilat USB cip tunggal pertama di dunia.

Melalui usaha sama MiPhi, Phison telah mewujudkan operasi di India, dengan Pua menyatakan minat untuk berkembang dalam ekosistem teknologi dan inovasi negara itu yang semakin pesat, termasuk industri semikonduktor.

Dalam pertemuan berasingan, Modi turut mengadakan perbincangan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik bagi memperkukuh kerjasama tenaga.

MEA memaklumkan perbincangan tertumpu kepada tenaga boleh baharu dan bahan api bersih, termasuk hidrogen hijau dan ammonia hijau, selain pelaburan jangka panjang Petronas dalam sektor gas asli cecair (LNG) dan petrokimia di India.

Semasa pertemuan dengan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, MEA berkata Khazanah menekankan transformasi ekonomi India serta potensinya sebagai destinasi pelaburan berpertumbuhan tinggi.

Menurut hantaran itu, pertemuan berkenaan mencerminkan keyakinan pelabur yang kukuh terhadap India serta komitmen bersama untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan teknologi antara India dan Malaysia.

Lawatan Modi ke Malaysia pada 7 dan 8 Feb adalah sebahagian daripada usaha memperdalam Perkongsian Strategik Komprehensif antara kedua-dua negara, dengan perdagangan, pelaburan, ekonomi digital, semikonduktor dan tenaga bersih dikenal pasti sebagai bidang keutamaan.

Semasa lawatan itu, Modi turut mengadakan perbincangan dengan pemimpin Malaysia dan berucap kepada pihak berkepentingan perniagaan, sekali gus menegaskan komitmen India untuk menarik pelaburan asing serta memperkukuh daya tahan rantaian bekalan bersama rakan ASEAN. Malaysia kekal sebagai antara rakan dagang utama India di Asia Tenggara.

Hubungan ekonomi Malaysia-India terus menunjukkan momentum kukuh, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM79.49 bilion (US$18.59 bilion) pada 2025.

Eksport Malaysia berjumlah RM52.3 bilion (US$12.24 bilion), manakala import berjumlah RM27.19 bilion (US$6.35 bilion). Antara barangan eksport utama ialah minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, serta produk elektrik dan elektronik, manakala import pula kebanyakannya terdiri daripada produk pertanian, petroleum dan kimia.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2521754