KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Perbadanan Putrajaya (PPj) tidak meneruskan cadangan penyediaan perkhidmatan trem tanpa landasan atau kenderaan Transit Aliran Automatik (ART) di Putrajaya susulan kos pelaksanaan yang terlalu tinggi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Lo Su Fui berkata hasil kajian awal mendapati anggaran kos pelaksanaan ART termasuk pembangunan infrastruktur, sistem, operasi dan penyelenggaraan mencecah RM211.95 juta untuk tempoh 10 tahun.
“Kos ini di luar kemampuan kewangan PPj sebagai pihak berkuasa tempatan. Atas dasar tersebut, PPj tidak meneruskan cadangan pelaksanaan ART di Putrajaya serta tiada cadangan untuk peluasan jajaran untuk fasa seterusnya,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Lo berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) mengenai status terkini dan tarikh rasmi pengoperasian sistem ART di Putrajaya memandangkan fasa rintisan telah dijalankan sebelum ini, serta perincian pelan peluasan jajaran fasa seterusnya bagi memastikan ketersambungan peringkat awal dan akhir.
Bagaimanapun, beliau berkata PPj sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan keperluan perancangan pengangkutan awam pada masa depan, tertakluk kepada kemampuan kewangan dan kelulusan peruntukan, khususnya bagi mencapai sasaran 70 peratus penggunaan mod pengangkutan awam.
Menjawab soalan tambahan Dr Zaliha mengenai model pembiayaan alternatif termasuk kerjasama awam-swasta dalam menampung kos pelaksanaan ART, Lo berkata semua keputusan dibuat berpandukan kepada penilaian menyeluruh meliputi kos, faedah, risiko serta kemampuan fiskal semasa.
Beliau berkata dalam usaha mengurangkan kesesakan trafik di Putrajaya, PPj melaksanakan langkah penambahbaikan termasuk penyediaan Bas NadiPutra di tujuh laluan yang beroperasi setiap hari, selain penggunaan teksi air sebagai antara mod pengangkutan awam.
-- BERNAMA