PETALING JAYA, 9 Feb (Bernama) -- Pekerja asing di Malaysia bukan sahaja mampu menjaringkan gol malah aksi mereka di gelanggang futsal turut mencuri tumpuan pada kejohanan Piala Pekerja Asing FOMEMA 2026 ( Edisi Futsal) yang julung kali dianjurkan FOMEMA Sdn Bhd bagi meraikan semangat kerja berpasukan, kebersamaan dan penghargaan terhadap sumbangan golongan itu kepada masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif FOMEMA Dr Mohd Afiq Farhan Md Hanif berkata kejohanan yang dijalankan mengikut undang-undang Futsal FIFA itu bertujuan menggalakkan keterangkuman sosial dalam kalangan pekerja asing, selain menekankan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat dan seimbang melalui sukan, sekali gus menjadikan futsal sebagai pilihan tepat bagi edisi sulung tersebut.
“Kejohanan ini bukan sekadar perlawanan. Ia adalah platform untuk berinteraksi, memupuk perpaduan, dan kebersamaan dalam kalangan pekerja asing, selain membawa mesej bahawa mereka juga sebahagian daripada komuniti, apabila mereka sihat komuniti juga akan menjadi sihat.
“Pada acara ini, kita turut menerima sokongan daripada penyedia perkhidmatan kita, mereka (pekerja asing) bebas untuk bertanya sebarang soalan berkaitan perubatan atau kesihatan mereka,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mohd Afiq Farhan berkata penganjuran kejohanan itu mencerminkan matlamat lebih luas FOMEMA dalam memupuk gaya hidup sihat dan seimbang, khususnya dalam kalangan pekerja asing yang turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, sekali gus melebarkan peranan syarikat bukan setakat pemeriksaan perubatan semata-mata.
Beliau berkata sambutan terhadap kejohanan itu amat menggalakkan, mendorong penganjur untuk kemungkinan mengadakan lebih banyak aktiviti sukan atau memperkenalkan sukan berbeza pada edisi akan datang.
Sementara itu, Muhammad Heru Hardiansyah, 25, pemain bagi pasukan Medan Pride FC, berkata kejohanan itu bukan sahaja memberi motivasi malah turut menyentuh perasaannya.
“Saya mahu berterima kasih kepada penganjur Piala Pekerja Asing FOMEMA 2026. Ini kali pertama saya mengambil bahagian dalam acara besar seperti ini. Ia sangat penting bagi kami sebagai pekerja asing dan kami sangat menghargai inisiatif ini,” katanya yang berasal dari Medan, Indonesia dan bekerja di sebuah kilang di Sepang, Selangor sejak dua tahun lepas.
Medan Pride FC muncul juara sulung kejohanan itu selepas mencatat kemenangan bergaya 5-1 ke atas Strong Young FC, kedua-dua pasukan tersebut daripada Hartalega NGC.
Juara membawa pulang hadiah RM5,000 berserta pingat, piala dan sijil, manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing menerima RM3,000 dan RM1,000 berserta piala dan sijil.
Kejohanan itu turut dihadiri wakil daripada pihak berkepentingan FOMEMA, termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi kerajaan seperti Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB).
Kejohanan futsal tersebut juga mendapat sokongan Pahang Rangers sebagai rakan kit rasmi, KPJ Healthcare sebagai rakan kesejahteraan rasmi dan Richina sebagai rakan hidrasi rasmi.
FOMEMA telah dilantik oleh KKM dan KDN sejak 1997 untuk mengendalikan Sistem Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing yang komprehensif bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Syarikat tersebut memantau tahap kesihatan pekerja asing bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit dan membolehkan pengesanan awal penyakit tidak berjangkit melalui rangkaian lebih 5,000 klinik, kemudahan sinar-X, radiologi dan makmal di seluruh negara.
-- BERNAMA