AM

Rakyat Manfaat SARA Untuk Persiapan Tahun Baharu Cina, Ramadan

09/02/2026 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Kebanyakan rakyat di seluruh negara yang mula menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk Semua hari ini, akan memanfaatkan bantuan itu untuk membuat persiapan Tahun Baharu Cina minggu depan dan Ramadan yang bakal tiba.

Rata-rata penerima juga bersyukur mendapat inisiatif Kerajaan MADANI itu buat kali kedua selepas memperoleh bantuan RM100 secara sekali beri itu tahun lepas, apatah lagi peluasan kategori barangan SARA untuk Semua merangkumi makanan sejuk beku kali ini dapat memberikan lebih banyak pilihan kepada mereka.

SARA untuk Semua mula disalurkan hari ini kepada lebih 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang boleh digunakan di kedai berdaftar untuk membeli barangan keperluan asas terpilih hingga 31 Dis ini.

Nancy Cheong, 75, berkata peluasan kategori barangan merangkumi makanan sejuk beku disifatkan sebagai langkah amat praktikal dan relevan dengan keperluan isi rumah.

“SARA memudahkan kami membeli barang keperluan yang benar-benar diperlukan, sekali gus dapat mengurangkan beban perbelanjaan harian,” katanya ketika ditemui di pasar raya Mydin Subang Jaya hari ini.

Seorang penjual makanan, A. Sujita, 46, berkata dia dan empat ahli keluarganya membeli barangan keperluan buat keluarganya yang terdiri daripada 10 orang dengan bantuan SARA.

“SARA ini membantu kami membeli keperluan dapur seperti beras, gula dan minyak. Sekiranya ada baki, saya akan gunakannya pula untuk membeli barang berniaga seperti mihun dan mi, jadi saya tak perlu keluarkan modal yang banyak,” katanya yang menjana pendapatan kira-kira RM300 sehari daripada perniagaannya.

Di KEDAH, Tan Ooi Meng, 68, dari Taman Wira Mergong, Alor Setar berkata dia menggunakan bantuan SARA itu untuk membeli beberapa barangan keperluan, terutamanya beras, minyak dan gula kerana empat anaknya akan pulang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina di rumahnya.

“Saya datang awal pagi ini dan masih belum ramai pelanggan. Sistem untuk buat pembayaran juga lancar, pekerja di kedai ini bagus kerana mereka banyak membantu termasuk memberikan penjelasan, terutamanya kepada warga emas yang mungkin kurang mahir,” katanya.

Noor Atiqah Effendi, 42, dari Taman Orkid, Pendang yang merupakan ibu tunggal berkata bantuan SARA itu besar makna buatnya, khususnya dalam membuat persiapan dan membeli barangan keperluan untuk menyambut Ramadan tidak lama lagi.

“Saya hanya ambil upah jaga kedai runcit, jadi pendapatan tidak cukup untuk tampung tiga anak yang berusia antara lapan hingga 12 tahun. Memang runsing memikirkan untuk sambut Ramadan ini kerana duit sudah banyak habis kerana membeli persiapan persekolahan mereka sebelum ini.

“Sesetengah orang kata RM100 sedikit, tetapi bagi saya sudah cukup untuk menampung keperluan kami sepanjang bulan puasa ini. Saya gunakan untuk beli barangan makanan yang penting sahaja seperti beras, minyak, bawang dan ayam,” katanya.

Di KELANTAN, pelajar semester satu sebuah universiti tempatan, Amir Asyraf Mohd Rizaludin, 21, berkata dia bersama dua lagi abangnya yang turut menerima bantuan SARA akan menggunakan manfaat itu untuk membeli barangan keperluan asas sebagai persediaan menyambut Ramadan.

"Selain emak dan ayah, saya dan dua lagi abang turut menerima bantuan SARA, jadi jumlah keseluruhan bantuan yang kami sekeluarga terima adalah sebanyak RM500.

"Bantuan ini bukan sekadar meringankan beban keluarga, tetapi juga membuka ruang kepada golongan muda dan anak-anak untuk berbakti kepada keluarga," katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di Pasir Tumboh, Kota Bharu hari ini.

Di NEGERI SEMBILAN, seorang suri rumah, Nurhaniza Abdul Ghafar, 38, berkata kepelbagaian pilihan barangan ditawarkan melalui SARA membolehkannya membeli makanan sejuk beku seperti nuget untuk anak-anaknya.

“Tahun lepas, saya hanya membeli barangan asas seperti beras dan susu formula, namun kali ini saya dapat membeli nuget sebagai stok makanan untuk anak-anak,” kata ibu kepada tiga anak berusia antara dua hingga 15 tahun itu.

Di PAHANG, Badrul Hisham Mahmud, 47, yang menetap di Permatang Badak, Kuantan berkata sumbangan berkenaan ibarat talian hayat untuk membeli barangan keperluan ketika diperlukan selain mengamalkan sikap berjimat dengan menggunakan bantuan itu secara berperingkat.

“Inisiatif ini bagus kerana dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga, dengan kategori barangan juga diperluas kepada produk sejuk beku, saya lihat langkah ini memudahkan penyediaan makanan ketika bulan puasa, terutama semasa sahur,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2521864