PUTRAJAYA, 9 Feb (Bernama) -- Pelan Strategik Jabatan Perangkaan 2026-2030 (PSJ DOSM) menetapkan empat teras utama iaitu perkhidmatan statistik inovatif, transformasi digital, pembangunan kapasiti modal insan dan pemerkasaan sistem statistik negara.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pelan strategik baharu itu adalah kesinambungan daripada PSJ 2021-2025 berhubung pelaksanaan strategi, program dan aktiviti yang telah digariskan, selain menjadi platform penyelarasan awal bagi memastikan pelaksanaan pelan strategik yang bersepadu, terselaras dan selari di semua peringkat.
“Ia juga berupaya memacu pembentukan budaya kerja berdisiplin, berprestasi tinggi dan berorientasikan hasil selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan year of execution.
“PSJ DOSM 2026-2030 terus memberi fokus kepada pemodenan sistem statistik, pemerkasaan modal insan, peluasan akses kepada data, pengukuhan tadbir urus data dan pemantapan kerjasama strategik bersama kementerian, agensi dan pihak berkepentingan,” katanya pada Majlis Kick-Off PSJ DOSM 2026- 2030 di sini hari ini.
PSJ DOSM 2026-2030 mengekalkan visi “Peneraju Perkhidmatan Statistik demi Kesejahteraan Sejagat” dan moto “Statistik Nadi Kehidupan”, sebagai kesinambungan aspirasi jangka panjang DOSM dan komitmen berterusan jabatan selaku peneraju sistem statistik yang menyokong pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat melalui statistik rasmi yang diyakini.
Mohd Uzir berkata misi DOSM juga telah diperbaharu, iaitu menghasilkan statistik berkualiti, bertepatan masa dan rboleh dipercayai untuk menyokong keputusan berasaskan data, iaitu misi berkenaan menegaskan peralihan peranan DOSM daripada sekadar pengeluar statistik kepada penyokong utama keputusan dasar, perancangan dan pelaksanaan pembangunan negara.
Sementara itu menurut kenyataan berasingan DOSM, pelan itu turut memperkukuh peranannya sebagai peneraju statistik di peringkat antarabangsa, selari dengan kejayaan Malaysia yang buat julung kalinya telah menduduki tangga pertama di peringkat global dalam laporan dwi-tahunan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang dikeluarkan Open Data Watch (ODW), mengatasi 197 negara lain.
“Pencapaian ini merupakan lonjakan ketara daripada kedudukan ke-67 dalam penilaian ODIN 2022/23. Kejayaan ini mencerminkan tahap keterbukaan, kualiti dan kebolehgunaan data rasmi negara yang diiktiraf di peringkat global,” menurut kenyataan itu.
Bagi tempoh pelan strategik itu, peranan DOSM dalam kerjasama strategik antarabangsa bersama organisasi seperti Suruhanjaya Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik (UNESCAP) serta rakan strategik antarabangsa lain akan terus diperkukuh bagi memastikan statistik Malaysia kekal relevan, setanding dan berdaya saing di persada dunia.
Untuk rekod, DOSM telah menghasilkan 7,335 penerbitan statistik bagi tempoh 2018 hingga 2025 dan jumlah itu meningkat kepada 7,356 penerbitan setakat Januari 2026, mencerminkan kesinambungan penyediaan statistik yang berkualiti, bertepatan masa dan dipercayai.
Seiring dengan agenda pendigitalan perkhidmatan statistik, DOSM telah menyediakan 37 perkhidmatan digital merangkumi 12 portal data, 15 papan pemuka dan 10 visual interaktif bagi meningkatkan akses serta kefahaman pengguna terhadap statistik rasmi.
“Permintaan data melalui eStatistik merekodkan sebanyak 13,214 permintaan bagi 2021 hingga 2025 sekali gus menunjukkan tahap kebergantungan dan penggunaan data rasmi yang tinggi dalam kalangan pembuat dasar, penyelidik dan pihak berkepentingan,” menurut DOSM.
-- BERNAMA