BANTEN (Indonesia), 9 Feb (Bernama) -- Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) membuka peluang kepada Malaysia untuk meneroka kerjasama lebih kukuh dengan Indonesia melalui Dewan Pers dalam usaha mempertingkat profesionalisme kewartawanan serta pembangunan industri media kedua-dua negara.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata Dewan Pers Indonesia yang wujud lebih lima dekad lalu mempunyai pengalaman luas dalam memperkukuh standard profesionalisme kewartawanan di republik itu.
“Saya optimis, penubuhan MMM memberi peluang kepada Malaysia untuk mempelajari pengalaman Dewan Pers, sambil membuka ruang kerjasama erat antara kedua-dua institusi ini.
“Melalui kerjasama ini, kita berharap dapat membentuk amalan kewartawanan lebih beretika, telus dan berkesan, sekali gus menyokong pembangunan industri media yang mampan, profesional dan dekat dengan masyarakat,” katanya ketika sesi dialog bersama Ketua-Ketua Pengarang media Indonesia dan pemimpin ISWAMI di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Hamzah Ishak dan Presiden ISWAMI Malaysia Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.
Dewan Pers merupakan badan kawal selia kendiri media di Indonesia yang berperanan melindungi kebebasan media, memantau pematuhan etika kewartawanan serta mengendalikan aduan orang ramai terhadap organisasi media.
Teo yang tiba di Jakarta semalam berada di ibu negara Indonesia itu bagi lawatan kerja selama tiga hari dan antara lain dijadual bertemu rakan sejawat Nezar Patria, esok.
Katanya, MMM ditubuhkan pada Jun 2025 sebagai badan kawal selia kendiri yang bebas dan bertujuan bukan sahaja untuk memperkukuh etika kewartawanan serta memastikan kebebasan media yang bertanggungjawab, malah menyediakan saluran aduan awam secara profesional dan telus bagi memastikan suara masyarakat didengar.
Teo turut menyentuh mengenai Dana Inovasi Media diumumkan Kerajaan Malaysia baru-baru ini berjumlah RM30 juta bertujuan membantu organisasi media tempatan menghadapi perubahan landskap digital dan pengiklanan yang kini banyak beralih kepada platform global seperti Google dan Meta.
“Ia bukan untuk memastikan liputan berpihak, tetapi untuk membolehkan media tempatan mentransformasikan operasi mereka, memanfaatkan teknologi termasuk AI, dan terus memberi kandungan berkualiti kepada masyarakat,” katanya.
Selain itu, beliau berkata bagi menjaga kebajikan pengamal media, kerajaan melalui Bernama memperkenalkan inisiatif Tabung Kasih@HAWANA yang telah memberi manfaat kepada 632 penerima sejak diperkenalkan pada 2023 hingga 6 Feb lepas.
Sementara itu, beliau menjemput ketua-ketua pengarang media Indonesia untuk hadir ke sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang akan diadakan di Pulau Pinang, pada 13 Jun depan.
-- BERNAMA