AM

Joy Paradise Holidays Terima Pengiktirafan Asia Records, Rancang Berkembang Ke China

10/02/2026 12:44 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Agensi pelancongan Malaysia, Joy Paradise Holidays Sdn Bhd mencapai kejayaan jenama penting apabila menerima pengiktirafan daripada ASIA Records sebagai agensi pelancongan memfokuskan Jepun pertama yang menguruskan jumlah pelancong tertinggi, iaitu 16,865 orang dalam lawatan tempahan persendirian ke negara itu pada 2024.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dominic Teh berkata anugerah itu melambangkan peningkatan berprestij syarikat daripada ASEAN Records sebelum ini, menandakan evolusi daripada entiti serantau kepada jenama yang benar-benar mempunyai “kehadiran pada peringkat Asia”.

Beliau berkata pengiktirafan itu juga mengesahkan peralihan model perniagaan syarikat daripada konsep lawatan siri tradisional atau pakej tetap kepada tumpuan terhadap kenderaan sewa persendirian secara eksklusif dan jadual perjalanan yang disesuaikan sepenuhnya. 

“Semasa kami menubuhkan syarikat ini, kami menumpukan kepada kereta sewa persendirian supaya pelanggan boleh memilih sepenuhnya apa yang mereka mahukan. Pelancong muda mahu keselesaan dan tidak mahu mengikuti lawatan siri standard,” katanya. 

Dominic berkata demikian kepada Bernama selepas menerima pengiktirafan daripada Pengarah ASEAN Records dan ASIA Records Gillian Ooi pada majlis yang berlangsung di sini pada Sabtu. 

Beliau berkata budaya korporat syarikat itu berpusatkan pelanggan dan bukan produk serta mengutamakan keperluan khusus keluarga, warga emas dan kanak-kanak berbanding menjual produk perjalanan yang tetap.

“Kami fokus untuk menyediakan pengalaman yang dirancang khusus, mewah yang bebas daripada kerisauan, selamat, profesional dan mesra. Kami menyerahkan kerumitan dan ketidakpastian kepada pasukan kami dan menyediakan kemudahan serta keseronokan kepada pelanggan,” katanya.

Dominic berkata walaupun jadual perjalanan disokong oleh proses dan pengalaman yang sistematik, syarikat memastikan perkhidmatan yang diberikan kekal fleksibel dan mesra serta melayani tetamu dengan layanan sebenar.

Beliau berkata budaya jangka panjang pasukan agensi itu juga menggalakkan petugas untuk mengutamakan kecemerlangan yang mampan berbanding keuntungan jangka pendek.

Mengenai rancangan masa depan, beliau berkata agensi itu secara rasmi beralih daripada pasaran tunggal yang kukuh di Jepun kepada kehadiran pelbagai pasaran dengan pengembangan ke China dijadualkan pada tahun ini.

Dominic berkata pengembangan itu bukan percubaan jangka pendek yang didorong oleh trafik, tetapi strategi jangka panjang dan mendalam yang direka untuk mengulangi kejayaan operasi Jepun.

“China sangat luas dan mempunyai sumber pelancongan yang pelbagai menjadikannya sesuai untuk perjalanan yang dirancang khusus dan pelancongan keluarga mewah,” katanya. 

Beliau berkata keperluan pelancongan keluarga berbilang generasi dan warga emas di China sangat selari dengan pangkalan pelanggan Joy Paradise yang sedia ada.

Untuk membezakan syarikat dalam pasaran baharu, beliau berkata mereka akan mengelak daripada bersaing atas harga rendah atau produk berkuantiti tinggi, sebaliknya mereka bentuk pilihan perjalanan yang paling sesuai untuk unit keluarga berbeza.

“Kami tidak mahu meliputi setiap negara. Budaya kami ialah untuk menjadi pakar atau pro. Oleh itu, kami akan fokus sepenuhnya pada Jepun dan China untuk memastikan kualiti perkhidmatan tertinggi,” katanya.

Dominic berkata strategi itu akan disokong oleh kecekapan yang boleh ditingkatkan termasuk piawaian matang untuk perancangan jadual perjalanan dan pengendalian kecemasan serta mengambil tanggungjawab penuh terhadap keseluruhan perjalanan.

“Matlamat jangka panjang kami ialah mewujudkan reputasi dengan pelanggan mengingati kami bukan hanya kerana melancong ke sesuatu destinasi tetapi kerana ‘melancong cara Joy Paradise’,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2522153