AM

KPDN Perkukuh Penguatkuasaan Isu Persaingan Agensi Pelancongan Dalam Talian

10/02/2026 12:56 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mahu penyelarasan dilakukan bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap kecenderungan amalan perniagaan yang  menyalahi prinsip persaingan dalam kalangan agensi pelancongan dalam talian atau online travel agencies (OTAs).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata kerjasama melibatkan Suruhajaya Persaingan Malaysia (MyCC), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu diperkemaskan.

Beliau berkata hasil semakan pasaran mendapati wujud kecenderungan amalan perniagaan bercanggah dengan Akta Persaingan 2010 (Akta 712) dalam kalangan OTAs, selari dengan trend yang turut dikesan pihak berkuasa persaingan di beberapa negara lain seperti Hong Kong, Jepun dan China.

“Keadaan ini memerlukan siasatan bersama merentas agensi diterajui MyCC, khususnya berkaitan isu pariti harga dan struktur yuran komisen,” katanya pada sidang media pelancaran Kajian Pasaran Ekosistem Ekonomi Digital di bawah Akta Persaingan 2010, yang turut dihadiri Pengerusi MyCC Tan Sri Idrus Harun, di sini hari ini.

Armizan berkata amalan berkenaan bukan sahaja membebankan hotel dan ejen pelancongan, malah berpotensi menjejaskan pengguna daripada memperoleh tawaran lebih baik, sekali gus merencatkan perkembangan industri pelancongan tempatan.

“Kita melihat wujudnya amalan untuk memperkenalkan pariti harga termasuklah juga dalam konteks penetapan bayaran komisen yang bukan hanya membebankan ataupun merencatkan perkembangan hotel-hotel, agensi pelancongan tetapi paling penting, dengan adanya pariti harga ini juga akan memberi kesan kepada pengguna untuk mendapatkan tawaran lebih elok,” katanya.

Sementara itu, Armizan berkata KPDN menerusi MyCC telah menyiapkan kajian semakan pasaran mengenai ekosistem ekonomi digital berasaskan Akta Persaingan 2010, yang dilaksanakan selama 18 bulan dan kini berada di peringkat akhir sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri. 

Kajian itu mengemukakan 18 syor, termasuk tiga cadangan utama selain isu OTAs yang memerlukan tindakan segera kerajaan iaitu penubuhan Central Digital Economy Task Force bagi menangani jurang kawal selia, kelompongan perundangan, memperkukuh pemantauan serta penguatkuasaan rentas kementerian dan agensi berkaitan.

Beliau berkata cadangan utama dalam kajian itu mengenal pasti jurang kutipan cukai perkhidmatan digital yang berpotensi lebih tinggi berbanding kutipan semasa, walaupun data Kementerian Kewangan menunjukkan peningkatan sumbangan sektor berkenaan.

“Perlu dilihat semula kerangka perundangan dan keberkesanan sistem percukaian bagi memastikan pulangan hasil yang optimum kepada negara, di samping mengekalkan persaingan adil dan perlindungan pengguna,” katanya.

Armizan berkata Data kutipan Cukai Perkhidmatan ke atas Perkhidmatan Digital (SToDS) menunjukkan peningkatan kepada RM1.62 bilion pada 2024 berbanding RM802 juta pada 2021.

“Namun demikian, kajian itu menganggarkan wujud jurang potensi sumbangan cukai tahunan yang signifikan berikutan perbezaan kadar cukai antara platform digital dan perniagaan tempatan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2522197