EKONOMI

Daya Maju Komersial, Komitmen Pembeli Tenaga Penting Bagi Aspirasi Tenaga Hijau - TNB

12/02/2026 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Hala tuju tenaga hijau di rantau ini yang berwawasan di bawah inisiatif Grid Tenaga ASEAN (APG) perlu disokong bukan sahaja melalui infrastruktur malah daya maju komersial bagi menjadikan aspirasi di peringkat serantau dapat dilaksanakan, kata Ketua Pegawai Grid Tenaga Nasional Bhd (TNB) Hasmarizal Hassan.

Beliau ketika berucap pada sesi panel bertajuk “Connected by Clean Power: ASEAN’s Green Growth Opportunity” pada Forum Tenaga Dewan Perniagaan Britain Malaysia (BMCC) 2026 baru-baru ini berkata, perdagangan elektrik bersih rentas sempadan bukan sahaja memerlukan sambungan fizikal malah kejelasan dalam struktur perniagaan dan penjajaran pengawalseliaan dalam kalangan negara yang terlibat.

APG menyasarkan untuk mewujudkan rangkaian tenaga bersepadu dan mampan menjelang 2045, dengan lapan daripada 10 negara anggota ASEAN telah menetapkan sasaran pelepasan sifar bersih.

“Model perniagaan yang jelas, disokong oleh pembeli tenaga yang komited adalah penting untuk memastikan sambungan rentas sempadan yang berdaya maju secara komersial sekali gus memberikan kejelasan mengenai pemulihan kos, perkongsian risiko dan permintaan jangka panjang yang positif,” menurut TNB menerusi hantaran di media sosial yang memetik Hasmarizal pada forum itu.

Beliau berkata kerangka pengawalseliaan di seluruh negara anggota juga amat penting bagi membolehkan aliran tenaga rentas sempadan yang diyakini dan selamat.

Beliau berkata pada masa hadapan, TNB kekal memberi tumpuan kepada pengukuhan kemampuan grid bagi menyokong peralihan rantau ini ke arah masa depan tenaga yang lebih bersih, saling berhubung dan berdaya tahan.

TNB telah giat menyumbang kepada APG yang dibuktikan menerusi projek sambungan rentas sempadan seperti Vietnam-Malaysia-Singapura, Malaysia-Indonesia dan Malaysia-Sarawak.

Penghantaran tenaga boleh baharu ke Singapura dari Laos melalui Thailand dan Malaysia tiga tahun lepas menandakan pencapaian penting dalam perdagangan elektrik rentas sempadan di rantau ini.

Menurut Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik (ESCAP), nilai jangka panjang APG bergantung kepada keupayaannya untuk memberikan pelbagai manfaat selain daripada sektor tenaga.

Menurutnya koridor penghantaran baharu boleh mewujudkan peluang pembangunan terutama di kawasan luar bandar, dengan meningkatkan akses kepada pasaran, pendidikan dan penjagaan kesihatan di samping menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan.

Selain itu, katanya penambahan kapasiti solar dan angin sebanyak 30 gigawatt berpotensi mewujudkan kira-kira 182,000 pekerjaan dalam sektor pembuatan, pemasangan dan penyelenggaraan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2523210