KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Pihak pendakwaan menarik balik rayuan terhadap pembebasan Pengasas Perkhidmatan Premium Big Blue Taxi, Allahyarham Datuk Shamsubahrin Ismail daripada pertuduhan menipu seorang pengarah syarikat berhubung kontrak kerja pembersihan di bangunan KLCC, tujuh tahun lepas.
Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Nurulhuda Nur'ain Mohamad Nor bahawa pihak pendakwaan menarik balik rayuan itu susulan kematian Shamsubahrin, 60, selaku responden, pada 11 Feb lepas.
“Memandangkan peguam telah memasukkan bukti kematian responden, iaitu daftar kematian dari Hospital Kuala Lumpur, pihak pendakwaan merasakan tiada kesan jika rayuan diteruskan. Oleh itu, perayu (pendakwa raya) menarik balik rayuan," kata Anis Wahidah.
Peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim bersama Zulkifli Awang mewakili Shamsubahrin memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya telah meninggal dunia pada 1.32 tengah hari, 11 Feb lepas akibat kanser kolon.
Hakim Nurulhuda Nur'ain kemudian membatalkan rayuan berkenaan.
Pada 7 Jun 2024, Hakim Mahkamah Sesyen Azrul Darus melepas dan membebaskan Shamsubahrin daripada pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya pada akhir kes pendakwaan.
Pada 9 Feb 2022, Shamsubahrin mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menipu seorang lelaki yang merupakan pengarah Syarikat Innoseven Sdn Bhd dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai bahawa tertuduh akan mendapatkan kontrak kerja-kerja pembersihan di bangunan KLCC untuk syarikat berkenaan.
Lelaki itu kemudian menyerahkan cek berjumlah RM750,000 sebagai imbuhan kepada tertuduh, di sebuah firma guaman di Pantai Dalam, Brickfields di sini, pada 24 Mei 2019.
Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA