JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Tempatan Rugi RM500,000 Ditipu Urusan Sewa Tanah

13/02/2026 10:10 PM

KLUANG, 13 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan mengalami kerugian RM500,000 selepas diperdaya dalam urusan sewaan tanah untuk tanaman kelapa sawit.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 44 tahun itu telah berhubung dengan seorang individu daripada sebuah syarikat yang mengaku sebagai pemilik tanah berkenaan.

Beliau berkata mangsa yang kemudiannya bersetuju untuk menyewa tanah berkenaan telah membuat bayaran deposit sewaan tanah secara berperingkat bermula 30 Okt hingga 4 Nov tahun lepas.

"Setelah membuat bayaran sebanyak RM500,000, mangsa mendapati tanah itu tidak pernah didaftarkan atas nama syarikat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini

Bahrin berkata mangsa yang menyedari ditipu tampil membuat laporan polis hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2523860