AM

AADK Beri Kerjasama Penuh Kepada SPRM Susulan Penahanan Dua Pegawai

13/02/2026 08:48 PM

PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penahanan dua pegawai wanitanya di Kedah bagi membantu siasatan dakwaan meminta dan menerima rasuah. 

Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata agensi itu menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada SPRM dan komited memberikan kerjasama penuh bagi memastikan siasatan lancar dan telus.

“AADK sama sekali tidak akan berkompromi atau melindungi pegawai atau petugas terlibat salah laku dan pelanggaran integriti yang boleh menjejaskan reputasi agensi serta perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ruslin menegaskan pegawai atau petugas yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Pada 11 Feb, SPRM menahan dua anggota AADK kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM2,000 sebagai balasan menyelesaikan kes narkotik pada 2025.

Mereka dipercayai menerima rasuah itu secara tunai daripada seorang individu bagi menyelesaikan kes positif dadah hasil saringan ujian air kencing.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2523817