GEORGE TOWN, 14 Feb (Bernama) -- Sebanyak 13 penghuni termasuk empat kanak-kanak berdepan detik cemas selepas terperangkap dalam lif selama lebih 30 minit di sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, di sini petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata semua mangsa terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita itu berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.14 petang dan sepasukan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru digegaskan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian, lif berkenaan didapati terhenti di tingkat 15 dengan sembilan orang dewasa dan empat kanak-kanak terperangkap di dalamnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
John berkata bomba menjalankan operasi penyelamatan menggunakan peralatan khas termasuk kunci lif bagi membuka pintu lif berkenaan secara manual.
Katanya kerja menyelamat mengambil masa kira-kira 30 minit sebelum pintu lif berjaya dibuka pada 5.45 petang dan semua mangsa dikeluarkan dalam keadaan selamat.
Beliau berkata operasi ditamatkan pada 5.52 petang selepas memastikan situasi benar-benar selamat.
-- BERNAMA