KUANTAN, 13 Feb (Bernama) -- Polis menahan seorang pelajar lelaki tingkatan lima kerana disyaki membuli pelajar tingkatan satu dengan menggunakan puntung rokok di asrama sebuah sekolah di Bentong, Rabu lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata suspek berumur 17 tahun itu ditahan oleh pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong semalam, selepas keluarga mangsa membuat laporan polis pada hari yang sama.
“Siasatan awal mendapati kira-kira tengah malam di tandas asrama sekolah berkenaan, mangsa yang merupakan pelajar lelaki dipercayai diarahkan menghisap rokok, namun enggan berbuat demikian sebelum didera menggunakan rokok oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Yahaya berkata mangsa telah memaklumkan kejadian terbabit kepada warden asrama berkenaan sebelum dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.
“Mangsa mengalami kecederaan di dada dan soft tissues injuries. Terdapat kesan lecuran puntung rokok pada badan mangsa,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA