AM

SHMMP: Penetapan Harga, Senarai Barangan Ambil Kira Kepentingan Semua - Exco

13/02/2026 08:56 PM

KUANTAN, 13 Feb (Bernama) --  Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Tahun Baharu Cina 2026 yang berkuat kuasa selama sembilan hari bermula hari ini dilaksanakan dengan mengambil kira keadaan semasa bagi memastikan keseimbangan antara kepentingan pengguna dan peniaga.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang Sim Chon Siang berkata kerajaan dalam perkara ini mahu memastikan pengguna dapat menikmati harga berpatutan menjelang perayaan, namun dalam masa sama tidak mahu membebankan peniaga dengan tempoh kawalan terlalu panjang.

“Penetapan senarai barangan dan paras harga maksimum dibuat berdasarkan pelbagai faktor termasuk ketersediaan bekalan, kos semasa, keadaan cuaca serta pandangan daripada agensi kerajaan dan pemain industri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang di sebuah pasar raya di sini hari ini bagi memantau pematuhan harga oleh peniaga dan memastikan bekalan barangan mencukupi sepanjang tempoh perayaan.

Sim berkata peniaga diingatkan supaya memastikan barangan terkawal wajib dilabel dengan tanda harga berwarna merah jambu bagi memudahkan pengguna mengenal pasti barangan yang tertakluk di bawah SHMMP.

“Pegawai penguat kuasa juga digerakkan ke lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah bagi memastikan pemantauan berjalan lancar. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan,” katanya.

Beliau berkata peniaga yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 termasuk denda dan kompaun yang ditetapkan.

SHMMP sempena Tahun Baharu Cina 2026 yang berkuat kuasa hingga 21 Feb menyaksikan 15 jenis barangan dikawal di Semenanjung, termasuk ikan bawal putih, udang putih, bawang putih (China), bawang kuning besar, bawang merah besar, sawi pendek atau sawi Jepun, cili merah, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing).

Turut dikawal lobak merah (China), lobak putih, ubi kentang (China), halia tua (import), babi hidup (kawalan di peringkat ladang sahaja), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2523826