KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Polis menjangkakan jumlah kenderaan memasuki ibu negara meningkat hampir dua kali ganda bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 Feb ini, susulan pertambahan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan membeli-belah.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata berdasarkan data harian, lebih tiga juta kenderaan direkodkan memasuki Kuala Lumpur setiap hari dan jumlah itu dijangka meningkat ketara menjelang musim perayaan, khususnya di kawasan pusat bandar.
“Perkara ini merupakan cabaran kepada pihak polis. Kita telah mengenal pasti beberapa kawasan hotspot dan akan menggandakan kawalan keselamatan termasuk di lokasi tumpuan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Ops Selamat 25 bersempena dengan Tahun Baharu Cina di sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini, hari ini.
Fadil berkata bagi memastikan kelancaran trafik, pihaknya turut melaksanakan Ops Lancar bermula dari 11 hingga 22 Feb dengan menempatkan anggota di lokasi strategik serta menjalankan pemantauan berterusan di 15 lokasi black spot dan 30 hotspot.
Antara lokasi black spot yang dikenal pasti, katanya, ialah Jalan Kuching, Jalan Tun Razak, Jalan Sungai Besi, Jalan Damansara, Jalan Kepong dan Lebuhraya Sultan Iskandar.
Sementara itu, kawasan hotspot pula termasuklah Bulatan Segambut, Bulatan Kepong, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang, Jalan Yap Kwan Seng, Bulatan Kampung Pandan dan Jalan Istana.
Black spot merujuk kepada kawasan yang kerap berlaku kemalangan atau mempunyai tahap risiko keselamatan jalan raya yang tinggi, manakala hotspot pula ialah lokasi tumpuan orang ramai dan kenderaan yang berpotensi menyebabkan kesesakan.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas serta arahan penguat kuasa bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar sepanjang tempoh perayaan.
-- BERNAMA