AM

Pertunjukan 350 Dron Tampil Tradisi Budaya Kelantan Bakal Warnai Walkathon D'Raja 2026

14/02/2026 01:30 PM

KOTA BHARU, 14 Feb (Bernama) -- Pertunjukan 350 dron dengan 10 formasi yang menampilkan tradisi dan budaya di Kelantan bakal memeriahkan acara 'Walkathon D'Raja-Walk With Me 2026' yang akan berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam ini.

Pengarah DNSVault Sdn Bhd Datuk Ts Amir Haris Ahmad berkata antara formasi dron yang akan dipersembahkan adalah gasing, rebana ubi, wayang kulit, beca dan Istana Balai Besar.

"Kita memilih formasi ini untuk tonjolkan identiti Kelantan yang kaya dengan adat dan tradisi budaya dan merupakan antara usaha untuk mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Kita kawal dron ini menggunakan komputer  dengan penglibatan rakyat tempatan termasuk pelajar daripada Universiti Malaysia Kelantan dan kita lakukan raptai selama dua hari bermula Khamis lepas," katanya ketika ditemui Bernama di Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini.

Beliau berkata antara cabaran memgendalikan dron adalah apabila berlaku angin kuat atau hujan lebat dan perancangan seterusnya perlu dibuat untuk memastikan acara tersebut berjalan lancar.

Pada program tersebut, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan Sultanah Nur Diana berkenan mencemar duli menyertai acara itu dan berjalan kaki bersama rakyat sejauh 3.2 kilometer.

Acara yang akan bermula pada 7.30 malam itu melibatkan lima pusat pemeriksaan dan merupakan cetusan ilham daripada Sultan Muhammad bagi mengeratkan hubungan raja dan rakyat selain mempromosi gaya hidup sihat.

Terdahulu, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata sempena acara tersebut sebanyak lima laluan ditutup serta dilencongkan secara berperingkat bermula 7 petang hingga 12 tengah malam.

Laluan yang ditutup adalah Jalan Bayam (hadapan IPK Kelantan dan Hospital KPJ-KTC) ke Jalan Dusun Muda (Simpang Wisma Persekutuan hingga simpang Sri Cemerlang) dan Jalan Tok Guru (simpang Sri Cemerlang hingga simpang Padang Garong).

Turut ditutup adalah Jalan Mahmood melalui Jalan Hospital (hadapan MPKB); Jalan Sultan Ibrahim (Bulatan Tuan Padang hingga persimpangan Sultan Ibrahim); dan sekitar Stadium Sultan Muhammad IV.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2523990