DUNIA

Indonesia Kurangkan Perbelanjaan Tidak Produktif, Jimat Rp308 Trilion - Prabowo

14/02/2026 09:53 AM

JAKARTA, 14 Feb (Bernama) -- Indonesia berjaya menjimatkan lebih Rp308 trilion (US$18 bilion) dalam tahun pertama pentadbiran Presiden Prabowo Subianto selepas mengurangkan perbelanjaan tidak produktif dan memperketat kecekapan belanjawan.

Beliau berkata penyatuan fiskal itu adalah hasil kawalan belanjawan dalaman yang lebih ketat, termasuk pengurangan lawatan ke luar negara, aktiviti istiadat, serta mesyuarat dan kajian yang tidak penting.

“Sudah tidak perlu terlalu banyak kajian dan analisis. Sekiranya terdapat kekurangan prasarana, kita bertindak. Jika desa perlu jambatan, kita bina. Jika rakyat lapar, kita cari makanan. Tidak usah terlalu banyak analisis.

Menerusi langkah-langkah ini, kita telah menjimatkan Rp308 trilion, berjumlah US$18 bilion, dan kita boleh melakukan lebih lagi. Kita mesti menutup dan mengurangkan ketirisan,” katanya pada forum Prospek Ekonomi Indonesia 2026 di sini, pada Jumaat.

Prabowo berkata wang yang dapat dijimatkan  itu telah disalurkan kepada program keutamaan yang memberi impak ekonomi dan sosial secara langsung, termasuk inisiatif Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) yang setakat ini telah memberi manfaat kepada 60.2 juta penerima.

Beliau berkata cita-cita untuk menjadi sebuah negara maju mesti diteruskan melalui strategi yang terukur, terutamanya dengan mengoptimumkan pengurusan sumber negara bagi memastikan kemakmuran yang sebesar-besarnya untuk rakyat.

“Kita punya cita-cita tinggi, tapi kita punya sikap yang realistik. Yang penting bagi kita adalah kita harus menjaga dan mengelola seluruh kekayaan negara, seluruh sumber  alam kita dan kita kelola, kita jaga dan kita pergunakan sebesar-besarnya untuk kepentingan seluruh rakyat Indonesia. Itu tujuan kita,” katanya.

Prabowo menegaskan bahawa pengukuhan ekonomi negara mesti bermula dari dalam dengan membina sikap berdikari dan daya saing.

Beliau turut mengulangi tekadnya untuk membasmi rasuah di semua peringkat dan menekankan bahawa tidak boleh ada kompromi dalam penguatkuasaan undang-undang  bagi menegakkan keadilan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2523921