ISTANBUL, 14 Feb (Bernama-Anadolu) -- Menteri Luar Palestin Varsen Aghabekian Shaheen pada Jumaat menyeru supaya Pihak Berkuasa Palestin diperkasakan untuk mentadbir Semenanjung Gaza, sambil menyatakan kerajaan bersedia mengambil alih tanggungjawab dan memberi amaran bahawa peminggiran berterusan akan menjejaskan sebarang aturan pascaperang, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Berucap dalam satu perbincangan panel di Persidangan Keselamatan Munich, Shaheen berkata kepimpinan Palestin telah lama merangka pelan bagi tempoh pascaperang di Gaza dan tidak bermula dari sifar.
“Ya, kami bersedia,” katanya ketika menjawab soalan mengenai garis masa untuk mengambil alih pentadbiran Gaza. “Kami telah lama memikirkan dan merancang bagi tempoh pascaperang di Gaza. Kami mempunyai pelan yang telah disokong oleh Liga Arab, dunia Islam dan masyarakat antarabangsa secara keseluruhan.”
Shaheen berkata keperluan utama ialah memperkasakan kerajaan Palestin untuk melaksanakan tanggungjawabnya, dengan menegaskan bahawa peminggiran semasa terhadap Pihak Berkuasa Palestin adalah “tidak mampan.”
“Hari ini, kerajaan Palestin dipinggirkan, dan anda tidak boleh terus meminggirkan sebuah kerajaan,” katanya, sambil menambah bahawa perkembangan di Gaza tidak dapat dipisahkan daripada keadaan di Tebing Barat.
Beliau merujuk kepada isu pentadbiran praktikal termasuk rekod penduduk dan pengeluaran pasport yang diuruskan melalui Tebing Barat, sambil menegaskan keperluan untuk melibatkan Pihak Berkuasa Palestin sejak awal.
“Jika anda bercakap tentang daftar penduduk, anda perlu pergi ke Tebing Barat. Jika anda bercakap tentang pengeluaran pasport, anda perlu pergi ke Tebing Barat,” katanya. “Jadi, lebih baik melibatkan Pihak Berkuasa Palestin dari awal, bukannya di pertengahan proses atau pada penghujungnya.”
Kenyataannya dibuat ketika pegawai kanan Palestin menegaskan bahawa Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur merupakan satu unit politik dan geografi yang tidak boleh dipisahkan serta menolak sebarang pengaturan pentadbiran alternatif yang memintas kepimpinan Palestin sedia ada.
Minggu lalu, Bassem al-Salhi, anggota Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), berkata tiada “komunikasi politik” antara PLO dan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG).
“PLO, sebagai satu-satunya wakil sah rakyat Palestin, melihat bahawa bidang kuasa politik dan undang-undangnya ke atas Tebing Barat dan Gaza tidak berubah, walaupun di bawah pelan Gaza oleh Trump atau penubuhan ‘Lembaga Keamanan’,” katanya kepada Anadolu.
“Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis membentuk satu unit politik dan geografi yang tidak boleh dibahagikan,” tambahnya.
NCAG ialah badan bukan politik yang ditugaskan menyelia perkhidmatan awam harian di wilayah itu.
Ia terdiri daripada 11 tokoh Palestin dan diketuai oleh Ali Shaath. Jawatankuasa itu mula beroperasi dari ibu negara Mesir, Kaherah, pada pertengahan Januari tetapi belum memulakan tugas di Gaza, iaitu kira-kira 2.4 juta rakyat Palestin berdepan keadaan kemanusiaan yang amat teruk.
Jawatankuasa itu adalah satu daripada empat badan yang dicadangkan untuk mengurus fasa peralihan di Gaza, bersama Lembaga Keamanan, Majlis Eksekutif Gaza dan Pasukan Penstabilan Antarabangsa, di bawah pelan yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Pelan itu merupakan sebahagian daripada cadangan Trump untuk menamatkan perang Israel selama dua tahun di Gaza, yang telah mengorbankan lebih 72,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, mencederakan lebih 171,000 yang lain, serta memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam Gaza.
-- BERNAMA-ANADOLU