AM

JKR Labuan Capai Rekod Projek Asrama Siap Hampir Setahun Awal

14/02/2026 05:43 PM

LABUAN, 14 Feb (Bernama) -- Projek baik pulih dan penyelenggaraan bernilai RM11.2 juta bagi Blok A dan B asrama pelajar perempuan, termasuk kerja-kerja berkaitan di Kolej Vokasional Labuan telah disiapkan hampir setahun lebih awal daripada jadual asal.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan Mohd Faizul Ali Hanapiah berkata projek itu merangkumi pembinaan 32 bilik tidur untuk menempatkan 128 pelajar serta dua kuarters warden.

Beliau menyifatkan penyempurnaan projek 336 hari lebih awal daripada jadual sebagai bukti pengurusan projek yang cekap, selain hasil pemantauan rapi dan berterusan oleh pasukan JKR Labuan.

“Ini pencapaian bersejarah bagi projek pembangunan di Labuan,” katanya selepas menyerahkan projek tersebut kepada Timbalan Pengarah Rosli Sha'ban dari Bahagian Perancangan, Penyelidikan dan Pembangunan, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional, di sini hari ini.

Mohd Faizul berkata secara keseluruhan, lima projek penyelenggaraan pendidikan bernilai RM37.4 juta telah diluluskan di Labuan, dengan sebahagian besar projek sudah siap dan diserahkan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2524097