IPOH, 14 Feb (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 peringkat negeri di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.
Berangkat sama Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Keberangkatan tiba Sultan Nazrin pada kira-kira 3 petang disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Bagi menyempurnakan majlis, baginda berkenan menggaul Yee Sang sebagai simbolik sambutan perayaan itu yang akan diraikan masyarakat Tionghua pada 17 dan 18 Feb ini.
Baginda kemudian berkenan menyertai majlis santapan dengan diiringi persembahan seni dan budaya Cina seperti tarian singa dan orkestra pada sambutan yang dihadiri kira-kira 15,000 tetamu itu.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan sumbangan angpau kepada anak-anak dari beberapa rumah kebajikan antaranya Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Berjasa Kinta, Pusat Jagaan Pertubuhan Pengurusan Rumah Anak-Anak Yatim dan Miskin Anning dan Pertubuhan Pengurusan Pusat Jagaan 1 Malaysia, Perak.
Sementara itu, Saarani dalam sembah ucapannya menggesa rakyat mempercepat langkah tanpa meninggalkan sesiapa di sepanjang haluan, menguatkan semangat tanpa membakar jambatan perpaduan serta menggerakkan perubahan tanpa mengorbankan keharmonian.
“Kita mahu pertumbuhan yang inklusif, peluang yang adil dan pembangunan yang memastikan setiap kaum, setiap komuniti, bergerak bersama dalam arus kemajuan,” katanya yang turut mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Tionghua.
Beliau berharap Tahun Kuda Api sempena perayaan pada tahun ini bakal membawa keberanian dan kebijaksanaan, semangat yang terarah serta kemakmuran berpanjangan kepada semua.
-- BERNAMA