DUNIA

Filipina Usaha Perkukuh Perkongsian Maklumat Maritim ASEAN Menerusi Platform IORIS

14/02/2026 09:36 PM

Oleh Noor Bakhtiar Ahmad

MANILA, 14 Feb (Bernama) -- Filipina berusaha mempertingkatkan perkongsian maklumat maritim dalam kalangan negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) menerusi platform Indo-Pacific Regional Information Sharing (IORIS) bagi memperkukuh kesedaran domain maritim serantau serta bertindak balas terhadap ancaman keselamatan yang semakin berkembang.

Platform IORIS, disokong di bawah inisiatif CRIMARIO yang dibiayai Kesatuan Eropah, menghubungkan lebih 50 negara di seluruh Indo-Pasifik dan membolehkan pihak berkuasa maritim yang diberi kuasa berkongsi maklumat operasi secara selamat serta menyelaras tindak balas.

Ketua Kumpulan Operasi Maklumat di Pusat Maritim Kebangsaan Filipina, Kapten Severino Destura berkata kerjasama lebih erat dalam kalangan agensi ASEAN adalah penting bagi meningkatkan penyelarasan dan membina gambaran keselamatan serantau yang lebih komprehensif.

Beliau berkata cabaran seperti penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak teratur (IUU), penyeludupan, pencerobohan maritim serta lanun memerlukan tindak balas rentas sempadan yang disokong oleh mekanisme perkongsian maklumat yang tepat pada masanya dan berkesan.

“Antara matlamat Pusat Maritim Kebangsaan adalah untuk bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa, khususnya dalam ASEAN,” katanya semasa sesi bersama peserta Projek Lawatan Media Maritim Asia Tenggara (SEAMMVP) di ibu pejabat Pusat Maritim Kebangsaan baru-baru ini.

Pusat Maritim Kebangsaan berfungsi sebagai cabang operasi dalam rangka kerja keselamatan maritim Filipina dengan menyatukan dan menganalisis maklumat pelbagai agensi bagi menyelaras tindak balas terhadap ancaman maritim, termasuk memantau aktiviti di Laut Filipina Barat (Laut China Selatan).

Destura berkata usaha memperluas penyertaan dalam platform IORIS dalam kalangan negara anggota ASEAN akan terus memperkukuh kerjasama serantau.

“Ia akan menjadi satu kelebihan sekiranya kita dapat menjemput rakan kongsi ASEAN untuk turut menggunakan platform ini,” katanya sambil menegaskan penyertaan yang lebih meluas mampu mempertingkatkan penyelarasan maritim serantau. indigenous system

Beliau berkata perbincangan lebih mendalam diperlukan dalam kalangan negara rakan kongsi bagi menentukan tahap dan skop maklumat yang boleh dikongsi, khususnya antara agensi yang mempunyai fungsi serupa.

Destura turut menekankan jurang teknologi dan sumber yang menjejaskan kesedaran domain maritim di rantau ini.

Beliau berkata walaupun Pusat Maritim Kebangsaan menggunakan pelbagai alat pemantauan termasuk sistem berasaskan satelit, sebahagian besar pemprosesan data masih dilakukan secara manual berikutan kekangan sistem tempatan dan keupayaan kecerdasan buatan yang terhad.

“Trend semasa adalah penggunaan keupayaan angkasa,” katanya, sambil menyarankan pelaburan lebih besar dalam teknologi satelit serta platform komunikasi selamat yang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada Filipina tetapi juga rakan kongsi serantau.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2524199