SIBU, 19 Feb (Bernama) -- Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merekodkan lebih 8,000 ketibaan pelancong dalam tempoh dua jam pada hari pertama Tahun Baharu Cina, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata KLIA merekodkan kira-kira 6,500 ketibaan di Terminal 1 dan 1,500 di Terminal 2.
“Jumlah keseluruhan bagi dua hari pertama masih belum dimuktamadkan kerana kita masih menunggu data rasmi,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina di Pusat Komersial Pulau Li Hua di sini hari ini.
Beliau berkata jumlah pengunjung yang memberangsangkan itu sejajar dengan kadar penghunian hotel yang tinggi di seluruh negara, terutamanya di destinasi utama seperti Kuala Lumpur, dengan kebanyakan hotel dilaporkan penuh sepanjang tempoh perayaan.
Dalam kenyataan dari Sepang hari ini, Tourism Malaysia memaklumkan bahawa pada hari pertama sambutan Tahun Baharu Cina, 17 Feb lepas, pintu masuk utama negara merekodkan peningkatan ketara ketibaan pelawat dengan 32 penerbangan membawa 8,840 penumpang antara 7.00 hingga 10.30 pagi di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.
Peningkatan jumlah berkenaan selari dengan momentum kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang sedang giat dipromosikan.
Mengenai pembangunan pelancongan di Sarawak, Tiong berkata kementerian akan memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri serta Tourism Sarawak.
“Selepas Hari Raya kita akan adakan sesi libat urus dengan pihak Sarawak. Tourism Malaysia juga telah diarahkan supaya lebih agresif dalam mempromosikan perjalanan ke semua negeri di seluruh negara,” katanya.
-- BERNAMA