JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita Tikam Ibu Kandung Di Kuala Pilah Ditahan

21/02/2026 08:32 AM

KUALA PILAH, 21 Feb (Bernama) -- Polis menahan seorang wanita berusia lingkungan 50 tahun selepas didakwa menikam leher ibunya di Kampung Segineh Inas, Johol di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintenden Muhammad Mustafah Hussin berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan senjata tajam iaitu alat pembuka tin.

"Polis menerima maklumat daripada orang awam pada 7.08 malam berhubung satu pergaduhan yang berlaku di sebuah rumah di kampung berkenaan.

“Mangsa yang berusia dalam lingkungan 80-an kemudian dibawa ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil serta masih di bawah pemantauan pihak hospital,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek mungkin mempunyai masalah kesihatan mental namun motif kejadian masih dijalankan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah menerusi talian 06-4842 999.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2525955