Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka menunjukkan aliran meningkat minggu depan, memandangkan hujan lebat berterusan di seluruh wilayah pengeluar utama, sekali gus menjejaskan produktiviti getah, kata pakar industri Denis Low.
Low berkata cuti Tahun Baharu Cina yang berpanjangan turut memberi kesan kepada aktiviti pengeluaran dan perdagangan getah.
Beliau berkata konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran yang berterusan terus mempengaruhi sentimen pasaran, kerana ia boleh menyebabkan permintaan getah meningkat atau berkurangan dengan mendadak.
“Jabatan Meteorologi Thailand telah mengeluarkan amaran mengenai ribut musim panas yang membawa hujan lebat, angin kencang, kilat dan kemungkinan hujan batu, manakala Jabatan Meteorologi Malaysia pula mengeluarkan nasihat untuk ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berkata pasaran berkemungkinan akan meningkat minggu depan tetapi mungkin kekal bercampur-campur, menjejaki niaga hadapan getah serantau dan ringgit yang mengukuh.
Katanya, pasaran dijangka terus terkesan dengan pertumbuhan ekonomi AS dan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai konflik AS-Iran.
"Persatuan Negara-negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) menjangkakan tinjauan positif terhadap permintaan global bagi getah, memandangkan musim daun pokok getah luruh yang semakin hampir mengakibatkan pengeluaran yang rendah,” tambahnya.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 5.5 sen kepada 762.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal menambah tujuh sen kepada 585.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA