DUNIA

Papua Tengah Lancar Program IVF Percuma Tangani Penurunan Kadar Kelahiran

21/02/2026 03:16 PM

JAKARTA, 21 Feb (Bernama) -- Kerajaan Wilayah Papua Tengah telah melancarkan program persenyawaan in vitro (IVF) percuma sebagai sebahagian daripada usaha untuk menangani penurunan kadar kelahiran dalam kalangan Orang Asli Papua (OAP).

Ketua Pejabat Kesihatan Papua Tengah Agus berkata inisiatif itu bertujuan membantu pasangan yang menghadapi masalah kesuburan di samping memastikan kelestarian populasi OAP.

Beliau berkata program tersebut dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan wilayah di bawah dasar yang diperkenalkan oleh Gabenor dan Timbalan Gabenor, walaupun rawatan IVF biasanya melibatkan kos perubatan yang tinggi.

“Program IVF sedang berjalan, jadi rakyat Papua tidak lagi perlu mendapatkan rawatan di luar wilayah. Mereka hanya perlu datang ke Papua Tengah dan ia adalah percuma,” katanya, menurut Agensi Berita ANTARA, malam Jumaat.

Menurut data kesihatan, kadar kelahiran di Papua Tengah menunjukkan trend penurunan, sebahagiannya disebabkan oleh jangkitan saluran pembiakan yang menjejaskan lelaki dan wanita, yang dikaitkan dengan corak tingkah laku kesihatan yang kurang baik.

Selain inisiatif IVF, kerajaan wilayah telah memperkenalkan Program KoHarus Sehat (Kad Autonomi Khas Harapan Baharu Sihat Papua Tengah), yang memfokuskan kepada penjagaan kesihatan pencegahan dan promotif melalui saringan dan imunisasi, jaminan pembiayaan kesihatan, serta kerjasama merentas kerajaan.

Papua Tengah kini mempunyai 150 pusat kesihatan komuniti (puskesmas), yang mana 127 daripadanya telah berdaftar dan kira-kira 60 telah diakreditasi, menjadikan pemerkasaan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer sebagai keutamaan yang berterusan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2526075