GAYA HIDUP

Lorong Seni Hidupkan Kembali Nadi Malam Bandar Seremban

09/03/2026 10:57 AM

Oleh Sarinah Mat Kasim

SEREMBAN, 9 Mac (Bernama) -- Dahulunya sekadar laluan belakang kedai yang sunyi, terbiar dan sering ditakuti,  namun transformasi sejak tiga tahun lepas berjaya menghidupkan kembali nadi malam pusat bandar Seremban yang sebelum ini sering dianggap sebagai ‘bandar mati’ selepas waktu pejabat. 

Terletak di antara Jalan Tuanku Munawir dan Jalan Yam Tuan, Lorong Seni yang kini tampil sebagai ruang seni kreatif dan menjadi medan tumpuan bukan sahaja warga bandar raya untuk riadah bersama-sama keluarga tetapi juga sebagai tarikan pelancongan negeri ini. 

Dengan dihiasi lebih 50 mural hasil sentuhan kebanyakannya pelukis tempatan yang menampilkan keunikan budaya serta identiti setempat, kawasan yang bermandi limpahan cahaya pada waktu malam itu semakin meriah dengan kehadiran Pasar Karat, yang menjadi tumpuan penggemar barangan vintaj dan “bundle”.

pic-2

Menawarkan pengalaman unik untuk diterokai sepanjang 550 meter, Lorong Seni yang turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) sebagai laluan seni terpanjang di Malaysia, kini menjadi antara mercu penting kepada transformasi bandar raya Seremban yang turut dikenali sebagai Sungai Ujong suatu ketika dahulu.

Menyifatkan suasana lebih meriah dan kondusif, pengunjung Norazlina Hamid, 38 memberitahu Bernama perubahan imej bandar raya Seremban begitu memikat sehingga menarik perhatiannya untuk menyaksikan sendiri mural di lorong seni tersebut.

“Saya datang dengan anak- anak dari Port Dickson kerana ingin melihat sendiri suasana di Lorong Seni selepas sering melihat perkongsiannya di Facebook. Memang berbeza apabila dapat merasai sendiri pengalaman di sini,” katanya. 

pic-3

Berbanding pengunjung dari Selangor, Asmahani Ismail, 40, apabila kedatangannya  ke Lorong Seni adalah hasil cadangan ahli keluarganya yang menyarankannya singgah ke Pasar Seni sekiranya ingin mencari barangan unik dan sukar ditemui di tempat lain. 

Baginya, kawasan itu bukan sahaja menarik kerana kepelbagaian barangan yang dijual bahkan suasana Lorong Seni yang dihiasi mural berwarna-warni serta pelbagai aktiviti kreatif di sekitarnya turut menjadi tarikan kepada pengunjung. 

Tidak sekadar menawarkan pengalaman unik kepada warga negeri ini dan pelancong, usaha kerajaan negeri membangunkan kawasan itu turut membuka peluang rezeki kepada peniaga kecil selain membantu merancakkan ekonomi penduduk setempat.

Bagi Noradila Hanna Roslia, 34, yang menjual barangan perhiasan wanita di Lorong Seni sejak lapan bulan lepas, perubahan itu memberi kesan positif apabila perniagaannya berkembang dengan baik seiring dengan peningkatan jumlah pengunjung, terutama pada musim cuti sekolah dan perayaan.

pic-4

“Bersempena dengan musim perayaan ini, gerai di sini beroperasi setiap hari iaitu kira-kira 8 malam hingga 12 tengah malam berbanding sebelum ini hanya Jumaat hingga Ahad. Ini memberi masa pengunjung untuk membeli-belah pada hari minggu bagi membuat persiapan raya,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Datuk Masri Baharuddin berkata usaha menghidupkan semula bandar Seremban dilaksanakan secara berterusan, bukan sahaja melalui naik taraf Lorong Seni tetapi juga menerusi pelbagai inisiatif lain termasuk menambah baik Terminal Satu Seremban. 

Beliau berkata projek pembangunan Lorong Seni melibatkan kos keseluruhan RM2.5 juta, sekali gus mencerminkan komitmen MBS dan kerajaan negeri untuk menjadikan bandar ini sebagai lokasi wajib dikunjungi yang mesra pengunjung serta selamat. 

“Pembangunan Lorong Seni bermula pada 2019 dan siap sepenuhnya pada 2024, menjadi antara tarikan utama pelancong ke negeri ini. Usaha menukar lorong belakang kedai yang dahulunya suram kepada lorong seni kreatif itu turut menerima pengiktirafan MBR tahun lepas,” katanya.

pic-5

Berkenaan Terminal Satu Seremban yang dahulunya kelihatan usang serta tidak terurus, Masri berkata kini terminal bas itu bersifat moden serta dilengkapi pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada pengguna. 

“Perancangan selanjutnya, pihak kami juga sedang giat memajukan kawasan kolam air yang terbiar lebih 20 tahun di tengah bandar untuk dijadikan landskap baharu lengkap dengan hiasan air pancut.

“Kawasan kolam yang asalnya tapak sekolah convent itu masih belum siap sepenuhnya dan pelbagai penambahbaikan sedang dirancang secara berfasa bagi meningkatkan nilai estetika bandar serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2531979