Oleh Nurhafizah Tan
BEIJING, 10 Mac (Bernama) -- Berada jauh dari tanah air tidak menghalang komuniti Malaysia di Beijing daripada merasai kemeriahan bazar Ramadan yang mereka anjurkan di Kedutaan Besar Malaysia di sini.
Bazar cetusan Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (PERWAKILAN) Beijing itu menyajikan pelbagai hidangan tradisional dan popular seperti nasi kerabu, sate, cendol serta aneka kuih-muih, sekali gus menghidupkan suasana berbuka puasa yang sering dirindui rakyat Malaysia di perantauan.
Bagi pelajar Universiti Jiaotong Beijing, Putera Mikael Heikal Syhaiful Afanddi, 24, meskipun bazar itu tidak sebesar di Malaysia, suasana yang dibawakan sedikit sebanyak mengubat kerinduannya pada kemeriahan Ramadan di tanah air.
pic-2
“Saya sangat teruja melihat suasana di sini dengan kehadiran ramai pengunjung. Terdapat banyak makanan yang susah untuk didapati di Beijing seperti kek batik dan cendol,” katanya ketika ditemui Bernama.
Tahun kedua berpuasa di China, anak kelahiran Temerloh, Pahang itu berkata pengalaman menyambut Ramadan di negara tersebut memberikan pengalaman baharu dan berharga kepadanya berikutan perbezaan budaya dan cuaca.
Sementara itu, Muhammad Farid Haikal Mohd Rosli, 24, pula berkata penganjuran bazar berkenaan menjadi platform bagi komuniti Malaysia di Beijing untuk mengeratkan silaturahim selain memeriahkan bulan Ramadan.
pic-3
“Biasanya kami pelajar di sini akan memasak sendiri juadah berbuka puasa, tetapi hari ini dapat merasai masakan orang Malaysia yang tentunya berbeza dengan masakan sendiri,” katanya.
Warga kedutaan, Tuan Nozora Tuan Hasan turut berkongsi keterujaannya menyediakan hidangan bagi menjayakan bazar tersebut dengan bangun seawal 4 pagi untuk menyiapkan juadah seperti nasi dagang dan nasi kerabu.
Beliau berkata walaupun berdepan cabaran mendapatkan beberapa bahan mentah bagi menyediakan hidangan pantai timur itu, masalah tersebut dapat diatasi dengan kerjasama sesama mereka.
pic-4
“Di Beijing agak sukar mendapatkan ikan dan bahan mentah tertentu, malah ada yang perlu ditempah lebih dua minggu lebih awal. Namun, dengan bantuan kakitangan yang lebih senior, kami berjaya mendapatkannya,” katanya.
Sementara itu, penyelaras program Estia Amy Nyopieh dan Muanati Afzan Mohammad berkata program kali kedua tersebut melibatkan penyertaan 16 penjual yang menawarkan lebih 50 jenis juadah warisan Malaysia.
Menurut mereka, sebahagian daripada bahan tertentu juga dibawa khas dari Malaysia bagi memastikan rasa asli hidangan tradisional dapat dikekalkan.
pic-5
Katanya, penganjuran selama kira-kira dua jam itu berjaya menarik lebih 300 pengunjung daripada pelbagai komuniti.
“Menerusi program ini kita berharap dapat mengubat kerinduan warga Malaysia pada makanan di kampung halaman, selain memperkenalkan hidangan tradisional negara kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA
kedutaan besar malaysia, beijing, bazar, ramadan, santai