JENAYAH & MAHKAMAH

Pelajar Maut Terkena Sabit: Dua Lelaki Warga Indonesia Direman

10/03/2026 04:03 PM

IPOH, 10 Mac (Bernama) -- Dua lelaki warga Indonesia yang bekerja sebagai pengait sawit direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan seorang pelajar lelaki yang maut selepas lehernya terkena sabit, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin  berkata perintah reman bermula hari ini hingga 16 Mac itu, dikeluarkan Majistret Naidatul Athirah Azman di Mahkamah Majistret Teluk Intan.

Beliau berkata suspek berusia 39 dan 52 tahun itu tiba di mahkamah pada 9 pagi diiringi polis.

“Perintah reman itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan polis diteruskan di bawah Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, mangsa Adham Faisal, 18, pelajar Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di leher apabila motosikal ditunggangnya berselisih dengan motosikal suspek yang membawa sabit di Batu 4, Kampung Selabak, Teluk Intan.

Dalam kejadian itu, rakan mangsa yang berusia 17 tahun turut mengalami kecederaan pada tangan akibat insiden berkenaan. 

Difahamkan, ketika kejadian mangsa sedang dalam perjalanan ke kolej bagi menduduki latihan praktikal di institusi berkenaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2532584