AM

Pulau Pinang Tambah Penerbangan Terus Ke Phuket, Qingdao Dan Senai Pada Mac - Exco

10/03/2026 02:32 PM

GEORGE TOWN, 10 Mac (Bernama) -- Pulau Pinang akan menambah tiga laluan penerbangan terus baharu bulan ini, yang menghubungkannya dengan Phuket di Thailand, Qingdao di China, dan Senai di Johor, dalam usaha untuk memperkukuh lagi pelancongan dan kesalinghubungan negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Wong Hon Wai berkata  AirAsia telah mengesahkan akan melancarkan perkhidmatan penerbangan terus Phuket-Pulau Pinang bermula 13 Mac manakala Batik Air akan memulakan laluan Senai-Pulau Pinang pada 18 Mac.

"Laluan AirAsia Phuket-Pulau Pinang (penerbangan AK1821) akan bermula secara rasmi pada 13 Mac dengan kekerapan penerbangan empat kali seminggu pada peringkat awal dan laluan ini menyediakan koridor udara untuk memudahkan pertukaran penerbangan bagi tujuan pelancongan dan komersial antara Pulau Pinang dan Phuket.

"Laluan Senai-Pulau Pinang Batik Air akan memulakan operasi pada 18 Mac dengan satu penerbangan sehari pada peringkat permulaan, yang mengukuhkan lagi hubungan udara wilayah utara-selatan di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain laluan Phuket dan Senai, beliau berkata Qingdao Airlines juga akan melancarkan perkhidmatan Qingdao-Pulau Pinang pada 31 Mac, manakala Chongqing Airlines dijadualkan memulakan laluan Chongqing-Pulau Pinang pada April.

Wong berkata usaha bersepadu syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa itu mengukuhkan lagi peranan Pulau Pinang sebagai pintu masuk wilayah utara Malaysia dan hab pelancongan antarabangsa, di samping menyuntik tenaga baharu ke dalam ekonomi pelancongan negeri.

Bagaimanapun, beliau berkata ketidaktentuan global ketika ini terutamanya di Asia Barat mungkin menjejaskan aliran perjalanan dari Timur Tengah dan Eropah.

"Oleh itu, pada suku pertama 2026, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluaskan hubungan udara merentasi Asia Timur, Asia Tenggara dan laluan domestik. Dengan usaha berterusan ini, Pulau Pinang menyasarkan untuk mempelbagaikan sumber pelawatnya dan meningkatkan daya tahan industri pelancongannya," katanya.

Wong berkata pendekatan strategik ini bukan sahaja menyokong wawasan Pulau Pinang untuk menjadi hab pelancongan serantau tetapi juga menyuntik momentum ke dalam sektor pelancongan negeri untuk mengukuhkan kedudukannya dalam persekitaran global yang dinamik.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2532586