EKONOMI

Pulau Pinang Catat Pelaburan Pembuatan Diluluskan RM22.4 Bilion Pada 2025

10/03/2026 07:20 PM

GEORGE TOWN, 10 Mac (Bernama) -- Pulau Pinang mencatatkan RM22.4 bilion dalam pelaburan pembuatan yang diluluskan pada 2025, naik 29 peratus daripada 2024, mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai hab perindustrian utama walaupun berlaku ketidaktentuan ekonomi global.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Pulau Pinang menduduki tempat ketiga dalam kalangan penyumbang tertinggi pelaburan perkilangan yang diluluskan di seluruh negara, menyumbang 17 peratus daripada keseluruhan jumlah di Malaysia.

Pelaburan ini merangkumi 232 projek, dijangka menjana 24,633 peluang pekerjaan baharu.

Katanya, pelaburan langsung asing (FDI) pembuatan yang diluluskan pada 2025 adalah sebanyak RM15.2 bilion, mewakili 68 peratus daripada jumlah pelaburan pembuatan Pulau Pinang yang diluluskan.

“Negeri itu juga disenaraikan antara tiga penerima utama FDI pembuatan di Malaysia, menyumbang 15 peratus daripada jumlah keseluruhan negara,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Singapura, Amerika Syarikat dan China adalah tiga sumber utama FDI, secara kolektif menyumbang 57 peratus daripada jumlah FDI pembuatan Pulau Pinang yang diluluskan.

Sementara itu, Chow berkata pelaburan pembuatan domestik negeri yang diluluskan berjumlah RM7.2 bilion, mewakili 32 peratus daripada jumlah pelaburan negeri dan lebih dua kali ganda angka tahun sebelumnya.

Aktiviti pelaburan sebahagian besarnya tertumpu dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), mesin dan peralatan (M&E) serta kimia dan produk kimia, secara bersama menyumbang 81 peratus daripada jumlah aliran masuk yang diluluskan pada 2025.

 

Daripada jumlah itu, 52 peratus adalah projek baharu, manakala selebihnya merupakan projek pengembangan, menonjolkan kekuatan dwi Pulau Pinang dalam menarik pelabur baharu sambil membolehkan syarikat sedia ada meningkatkan operasi mereka.

 

“Pulau Pinang digalakkan oleh prestasi pelaburan kukuh yang dicatatkan pada 2025. Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, negeri ini terus menarik pelaburan berkualiti yang mengukuhkan lagi peranan kami dalam rantaian nilai global.

“Ini mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap ekosistem perindustrian Pulau Pinang dan prospek pertumbuhan jangka panjang,” tambahnya.

Chow memberitahu bahawa kerajaan negeri terus komited untuk bekerjasama rapat dengan rakan kongsinya bagi memastikan Pulau Pinang terus menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif dan berdaya saing.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pelabur dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta InvestPenang atas sokongan berterusan mereka dalam memudahkan pelaburan strategik yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2532761