JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Rekod Keterangan 12 Individu Bantu Siasatan Kes Bayi Maut

11/03/2026 11:03 PM

BUKIT MERTAJAM, 11 Mac (Bernama) -- Polis telah merekodkan keterangan 12 individu bagi membantu siasatan kes kematian bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah pusat asuhan dalam Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini pada Isnin lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata mereka terdiri daripada pekerja dan pemilik pusat asuhan itu serta ibu bapa bayi tersebut.

“Polis akan memanggil beberapa lagi individu untuk dirakamkan kenyataan,” katanya ketika dihubung hari ini.

Sebelum ini, polis mengesahkan kematian Hayl Haarith Mohd Syafaeez pada 4.20 pagi Isnin selepas dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSJ dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Bayi itu dihantar ke pusat asuhan yang beroperasi 24 jam sehari kerana ibunya, seorang jururawat bertugas syif malam.

Sehubungan dengan itu, polis menahan dua wanita berusia 22 tahun yang kini direman sehingga 16 Mac untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2533327