AM

TKM Pulau Pinang Mulakan Tindakan Undang-Undang Terhadap Individu Didakwa Sebar Fitnah

13/03/2026 03:24 PM

GEORGE TOWN, 13 Mac (Bernama) -- Timbalan Ketua Menteri (TKM) I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid bersama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Zakat MAINPP telah memulakan proses perundangan terhadap individu didakwa menyebarkan fitnah berhubung pengurusan dana zakat negeri itu.

Empat individu dinamakan dan diberikan surat tuntutan (LOD) iaitu aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, Timbalan Ketua Pemuda PAS Muhammad Hafiz Alias dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohd Yusni Mat Piah.

Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata tindakan itu diambil bagi mempertahankan reputasi dan integriti institusi agama Islam daripada terus diperkotak-katikkan demi agenda politik pihak tertentu.

“Saya secara peribadi bersama pihak MAINPP dan Zakat MAINPP telah memulakan proses tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah tersebut,” katanya pada sidang media di pejabat MAINPP di sini, hari ini.

LOD itu bagi menuntut mereka menghentikan serta-merta penyebaran bahan berunsur fitnah, mengemukakan permohonan maaf serta memberi aku janji untuk tidak mengulang atau menerbitkan semula tuduhan tersebut.

Mohamad berkata demikian bagi menjelaskan beberapa dakwaan dikaitkan dengan dirinya, MAINPP dan Zakat MAINPP yang disifatkan tidak berasaskan fakta sebenar serta berniat jahat, termasuk tuduhan berkaitan bantuan zakat kepada Zamri Ahmad.

Mohamad menjelaskan individu berkenaan dikenal pasti sebagai asnaf miskin sejak Ogos 2023, iaitu sebelum beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 dan Yang Dipertua MAINPP.

Beliau turut menjelaskan isu pembelian tanah Lot 240, 264 dan 265 Mukim 3, Seberang Perai Selatan yang sebelum ini dipersoalkan. 

Katanya cadangan pembelian tanah itu bermula sejak 15 Jan 2021 dan melalui beberapa peringkat penelitian termasuk penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) serta penelitian Jawatankuasa Pembangunan, Hal Ehwal Tanah dan Aset MAINPP sebelum diputuskan oleh pihak berkaitan.

Mengulas dakwaan pelantikan ahli keluarga, Mohamad berkata perkara itu sebenarnya melibatkan proses tukar lantik dalam skim perkhidmatan awam yang dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan berdasarkan kekosongan jawatan serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa anaknya menerima biasiswa zakat. 

“Program tersebut merupakan tajaan pengajian kepada pelajar lepasan Diploma Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang untuk melanjutkan pengajian ke universiti di Timur Tengah di bawah kategori asnaf Fi Sabilillah,” katanya.

Sementara itu, peguam beliau, Datuk Habib Rahman Seeni Mohideen berkata tindakan terhadap empat individu terbabit merupakan fasa pertama dan mereka diberikan tempoh tujuh hari bermula hari ini untuk menjawab semua tuntutan tersebut dan jika gagal dipatuhi, pihaknya akan meneruskan prosiding mahkamah.

Beliau berkata dalam fasa kedua, beberapa individu lain yang menerbitkan semula kenyataan sama juga akan dikenakan tindakan undang-undang.

“Kita sedang mengenal pasti individu terbabit yang menggunakan nama samaran atau berlindung di sebalik NGO yang tidak berdaftar,” katanya.

Pada akhir Januari lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang membuka kertas siasatan berhubung kes dakwaan penyelewengan zakat negeri itu susulan pendedahan dibuat seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri, hujung tahun lepas.

Seramai 63 individu dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan antaranya ahli Majlis Agama Islam Negeri, mufti, setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan, penasihat undang-undang serta pegawai dan pekerja di agensi berkenaan.

Turut dipanggil ialah ahli Lembaga Zakat serta pegawai dan pekerja pusat zakat negeri berkenaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2533975