KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penyelesaian segera diambil terhadap masalah banjir dan isu bekalan air di Sarawak bagi memastikan kepentingan rakyat negeri itu terpelihara.
Beliau menegaskan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan pihak Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) diminta untuk mengambil pendekatan menyeluruh dalam menangani kedua-dua isu berkenaan memandangkan hampir keseluruhan projek berkaitan telah diberikan peruntukan.
Perkara itu dinyatakan Anwar dalam pertemuan bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kepemimpinan Kerajaan Negeri Sarawak di Kuching, hari ini
“Dalam mesyuarat tersebut, kami meneliti pelbagai perkara yang menyentuh kepentingan rakyat Sarawak, termasuk agenda pembangunan, pemerkasaan ekonomi negeri serta usaha memperkukuh kerjasama antara Persekutuan dan negeri.
“Saya turut diberi taklimat berkenaan keperluan menyelesaikan masalah banjir dan bekalan air di Sarawak,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata pertemuan itu merupakan kesinambungan siri dialog yang diadakan dengan kerajaan-kerajaan negeri di seluruh negara, berasaskan prinsip bahawa pembangunan mampan mesti bermula dengan mendengar keperluan dan aspirasi rakyat di setiap negeri.
“Justeru, ia menjadi bukti nyata bahawa dialog terbuka sebegini amat penting sebagai wahana untuk memperkemas serta mencakup keperluan masyarakat di negeri-negeri, ketimbang sekadar memenuhi syarat birokratik semata,” katanya.
Selain isu domestik, Anwar turut berkongsi perkembangan terkini konflik di Asia Barat, termasuk perbincangan dengan pimpinan beberapa negara di rantau Teluk serta pimpinan Iran dan Turkiye, yang menghubungi Malaysia bagi bertukar pandangan mengenai situasi semasa.
Beliau berkata kesediaan negara-negara tersebut untuk mendengar pandangan Malaysia merupakan suatu penghormatan memandangkan kedudukan Malaysia yang relatif kecil di arena antarabangsa.
“Saya telah menyampaikan beberapa pandangan mewakili Malaysia sambil menegaskan kepentingan meredakan ketegangan demi keamanan sejagat,” katanya.
-- BERNAMA