DUNIA

Menteri Luar Indonesia, India Bincang Konflik Asia Barat, Hubungan Dua Hala

13/03/2026 04:23 PM

JAKARTA, 13 Mac (Bernama) -- Indonesia dan India mengadakan perbincangan mengenai konflik yang sedang berlaku di Asia Barat, menekankan kepentingan koordinasi rapat berhubung perkembangan serantau dan global.

Perbincangan itu adalah menerusi perbualan telefon antara Menteri Luar Indonesia Sugiono dan Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar.

Kedua-dua menteri turut membincangkan hubungan dua hala dan bersetuju untuk mengadakan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Indonesia-India secepat mungkin bagi meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara.

Jaishankar berkata dalam akaun X rasminya, beliau gembira dapat berbual dengan Sugiono dan mereka berkongsi perspektif tentang perkembangan di Asia Barat.

“Membincangkan hubungan dua hala dan bersetuju untuk mengadakan mesyuarat Suruhanjaya Bersama secepat mungkin,” menurut hantarannya pada Khamis.

Sementara itu, Sugiono menyifatkan panggilan itu sebagai produktif dan berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk meningkatkan kerjasama melalui Mesyuarat Suruhanjaya Bersama akan datang.

“Bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dua hala dalam Mesyuarat Suruhanjaya Bersama akan datang yang akan diadakan secepat mungkin pada masa yang sesuai, dan terus berkoordinasi rapat berkaitan perkembangan serantau dan global," menurut hantaran akaun Xnya, malam Khamis.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2534022