KOTA BHARU, 13 Mac (Bernama) -- Polis menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2.6 juta dalam dua operasi berasingan di daerah Kuala Krai dan Tanah Merah, pada Selasa lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata dalam serbuan pertama pada 9.30 pagi, Pasukan Task Force telah menahan sebuah lori jenis Nissan UD Bonded berwarna putih yang dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika melalui Jalan Kuala Krai–Gua Musang.
"Pemeriksaan terhadap kenderaan bernombor pendaftaran JLD 4461 itu telah dilakukan di hadapan Sekolah Kebangsaan Peria, KM15, Kuala Krai.
"Hasil pemeriksaan lanjut di bahagian muatan belakang lori tersebut telah menemukan longgokan kotak yang dibaluti guni dipercayai mengandungi rokok tidak bercukai daripada pelbagai jenama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yusoff berkata sebanyak 300 peti rokok pelbagai jenama dianggarkan mengandungi 3,056,000 batang rokok telah dirampas, dengan nilai anggaran bagi kes di Kuala Krai adalah sebanyak RM2,688,432.
Susulan itu, seorang pemandu lori berumur 50-an telah ditahan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, dalam operasi berasingan pada hari yang sama kira-kira pukul 2 petang di Tanah Merah, sepasukan pegawai dan anggota daripada Cawangan (D9) Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan telah menyerbu sebuah rumah dan menahan seorang lagi lelaki.
"Hasil pemeriksaan di sebuah stor di belakang rumah tersebut menemukan dua kotak rokok tidak bercukai jenama U2, dengan satu kotak mengandungi 50 karton rokok.
"Pihak polis turut merampas dua telefon bimbit jenis Redmi dan iPhone berserta kad SIM, menjadikan nilai keseluruhan rampasan bagi kes di Tanah Merah dianggarkan berjumlah RM7,000," katanya.
Mohd Yusoff berkata kesemua barang rampasan bagi kedua-dua kes itu akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk tujuan analisis.
Kedua-dua kes kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana memiliki dan mengendalikan barangan tidak bercukai, serta Seksyen 135(1)(d) akta yang sama kerana menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau barangan larangan import.
-- BERNAMA