DUNIA

Ramadan Tampilkan Hidangan Tradisi Terbaik Dunia

13/03/2026 04:50 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 13 Mac (Bernama) -- Ramadan bukan sahaja bulan untuk muhasabah rohani dan tanggungjawab sosial dalam kalangan umat Islam, ia juga meraikan makanan yang mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menyatukan masyarakat.

Beberapa masakan paling digemari di dunia “membuat kemunculan” pada bulan mulia ini, iaitu setiap kali matahari terbenam, wujud peluang untuk berkongsi dan menikmati hidangan unik, sama ada di rumah atau di masjid.

Dari pergunungan di Afghanistan ke India, tempat lahirnya agama dan budaya, dan dari pantai berpasir Sri Lanka ke pulau Mauritius yang indah di Lautan Hindi, Ramadan mendedahkan rahsia masakan tempatan. 

Hidangan istimewa yang disediakan untuk sahur, iftar dan tarawih tentunya mencerminkan kepelbagaian warisan budaya setiap rantau, yang dipelihara turun-temurun.

Wartawan veteran Qiesar Baba, yang berpangkalan di Srinagar, bandar pelancongan popular di Jammu dan Kashmir, menyifatkan tradisi iftar dalam masyarakat Kashmir sebagai perjalanan rohani dan kulinari dengan identiti tersendiri.

“Aspek paling unik dalam iftar Kashmir ialah cara tradisional berbuka puasa.

“Walaupun ramai warga Kashmir bermula dengan kurma segar mengikut tradisi nabi, minuman berbuka puasa istimewa di rantau ini ialah babriyol dan katira," kata Qiesar kepada Bernama.

Minuman babriyol diperbuat daripada biji selasih yang direndam dalam air atau susu, dan katira pula adalah satu lagi minuman penyejuk.

“Berbuka puasa tidak akan lengkap tanpa menyebut kedai kandur (pembuat roti tradisional) tempat tchot  (roti Kashmir) dibuat dalam ketuhar tanah liat, yang menjadi nadi kesibukan kawasan kejiranan ketika Ramadan,” kata Qiesar.

Di India, Khajla (poori) dan Pheni (bihun goreng) ialah makanan ringan popular, antara puluhan hidangan mewah lain yang disajikan semasa Ramadan.

India mempunyai penduduk Islam kedua terbesar di dunia iaitu lebih 200 juta, selepas Indonesia. Di Asia Tengah, susulan bentuk muka bumi yang bergunung-ganang dan keadaan cuaca sejuk mencengkam, keluarga, restoran serta penjual gerai menyediakan makanan, minuman dan snek yang sesuai selepas berbuka puasa.

“Terdapat banyak kumpulan etnik di Afghanistan, dan masing-masing memiliki makanan tradisionalnya sendiri. Makanan popular dalam kalangan rakyat Afghanistan semasa bulan suci Ramadan ialah bolani, qotaqhi, samosa, pakora, torsi dan yogurt,” kata seorang aktivis masyarakat sivil dari Kabul, Khalid Ahmad Kohistani, kepada Bernama.

Selepas solat Maghrib, makanan seperti kabuli pulao, biryani Afghanistan, shorba, stu daging dan mantu iaitu ladu yang diperbuat daripada daging kambing atau lembu, dihidangkan.

Sementara itu, dua juta umat Islam Sri Lanka menikmati hidangan tradisional mereka selepas menyempurnakan ibadah puasa.

Kanji atau bubur yang diperbuat daripada nasi, ayam atau daging lembu banyak dihidangkan di masjid. 

"Kanji ialah makanan ‘wajib’ semasa berbuka puasa. Ia kebanyakannya diedarkan di masjid. Ia baik untuk penghadaman, dan kami juga minum air kelapa dan sarbath," N.M. Ameen yang berpangkalan di Colombo, Ketua Pengarang akhbar berbahasa Tamil, Utayam, memberitahu Bernama.

Selain itu, masakan kegemaran negara pulau tersebut juga termasuk hoppers, pittu yang diperbuat daripada tepung beras yang dicampur dengan kelapa parut, dan sarbath, sirap manis sejuk.

Di syurga pelancong Mauritius, kira-kira 250,000 umat Islam di negara kecil dengan populasi 1.2 juta itu mengutamakan masakan warisan keluarga mereka yang tersendiri, walaupun ada yang menyerupai apa yang terdapat di India.

“Banyak perkara menarik berlaku semasa Ramadan di Mauritius; terdapat iftar tertutup atau ekslusif, iftar di masjid, dan orang muda melakukan amal kebajikan.

“Makanan seperti kalia dan haleem popular. Tetapi yang paling unik ialah roti naan, yang dijual hanya semasa Ramadan, kebanyakannya di hadapan masjid. Ini serupa dengan tradisi roti pide Turki," kata pengarang Mauritius Assad Bhuglah kepada Bernama.

Beliau telah mengarang 13 buku, kebanyakannya mengenai sejarah sosial umat Islam Mauritius.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2534052