DUNIA

Indonesia Percepat Peralihan Ke Solar, Hapuskan Loji Bahan Api Fosil Secara Berperingkat

13/03/2026 05:07 PM

JAKARTA, 13 Mac (Bernama) -- Indonesia merancang untuk mula menghapuskan loji jana kuasa berasaskan bahan api fosil secara berperingkat dan menggantikannya dengan tenaga solar seawal minggu depan selepas Aidilfitri, sebagai sebahagian usaha mempercepat peralihan tenaga negara, kata Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Bahlil Lahadalia.

Beliau berkata langkah itu mengikut arahan Presiden Prabowo Subianto untuk mempercepat peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui kerana kerajaan menimbang risiko terhadap bekalan minyak global yang berpunca daripada konflik berterusan di Asia Barat, termasuk potensi gangguan ke atas laluan perkapalan utama seperti Selat Hormuz.

“Itu antara isu yang kita bincangkan semasa pertemuan dengan presiden, apakah alternatif yang boleh digunakan sekiranya keadaan di Selat Hormuz kekal seperti sekarang,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu, menurut Agensi Berita ANTARA, pada Jumaat.

Bahlil berkata rancangan itu akan melibatkan penggantian secara beransur-ansur loji jana kuasa yang masih bergantung pada bahan api fosil termasuk loji jana kuasa diesel dan loji kuasa wap yang menggunakan bahan api diesel.

“Dalam keadaan geopolitik semasa yang dipengaruhi peperangan, kita tidak boleh pastikan bagaimana keadaan tenaga kita dalam jangka masa panjang.

“Oleh itu kita mesti mengoptimumkan semua potensi yang kita ada di dalam negara termasuk sumber tenaga yang boleh menggantikan bahan api fosil,” katanya.

Bahlil turut menegaskan bahawa loji jana kuasa berasaskan bahan api fosil hanya akan ditutup sebaik sahaja fasiliti baharu (replacement) yang dikuasakan oleh tenaga boleh diperbaharui siap.

“Kita mesti membina kemudahan baharu (replacement) terlebih dahulu. Jika kita menghentikannya sebelum loji baharu dibina, tiada pengganti. Jadi ia akan berjalan secara selari, apabila loji baharu dibina dan mencapai tarikh operasi komersial, loji diesel akan dihentikan," katanya.

Bahlil berkata arahan itu akan dilaksanakan menerusi Pasukan Petugas mengenai Tenaga Baharu dan Boleh Diperbaharui serta Penukaran Tenaga yang dipengerusikannya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2534069