NEW YORK, 13 Mac (Bernama-Xinhua) -- Lebih 4.1 juta orang kehilangan tempat tinggal di Afghanistan, Iran, Lubnan dan Pakistan sejak bermulanya konflik terbaharu di Asia Barat, kata jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis.
Selain itu, kira-kira 117,000 orang telah mencari perlindungan di negara lain, Stephane Dujarric, ketua jurucakap setiausaha agung PBB, memberitahu taklimat harian, memetik Agensi Pelarian PBB.
Dujarric berkata menurut aktivis kemanusiaan PBB, rantau Asia Barat mempunyai antara jumlah terbesar penduduk yang memerlukan bantuan kemanusiaan di seluruh dunia.
“Pergolakan baru-baru ini berisiko memburukkan lagi penderitaan orang awam dan menyebabkan lebih banyak kerosakan terhadap infrastruktur awam yang telahpun rapuh." katanya.
PBB dan rakan terus memberikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk yang terjejas di beberapa negara dan sentiasa bersedia untuk meningkatkan tindak balas bagi membantu pihak berkuasa negara jika diperlukan, katanya.
-- BERNAMA-XINHUA