Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Pelaksanaan penyelarasan harga melalui Mekanisme Harga Automatik (APM) dilihat sebagai instrumen kritikal dalam menghadapi turun naik harga minyak dunia bagi menjamin kelangsungan bekalan bahan api negara.
Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol Azizul Azily Ahmad menyifatkan langkah penyelarasan harga pasaran dan subsidi sebagai tindakan perlu bagi membendung ketirisan serta memastikan bantuan kerajaan benar-benar diterima oleh rakyat yang layak.
Beliau berkata perbezaan harga yang ketara berbanding negara jiran boleh mewujudkan insentif untuk penyeludupan serta pembelian luar biasa, sekali gus memberi tekanan kepada bekalan domestik.
Bercakap kepada Bernama, beliau menjelaskan kenaikan harga global secara mendadak akan menyebabkan jurang antara harga subsidi domestik dan harga pasaran dunia semakin melebar.
Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan harga runcit petrol dan diesel di stesen minyak di Malaysia akan diselaraskan, sejajar dengan pergerakan harga minyak di pasaran global bagi menangani kesan ketidaktentuan pasaran yang berlaku ketika ini.
Sehubungan itu, harga runcit RON95 dan RON97 dinaikkan sebanyak 60 sen seliter, manakala harga diesel di Semenanjung Malaysia dinaikkan 80 sen seliter.
Bagaimanapun, kerajaan mengekalkan harga bersubsidi RON95 pada RM1.99 seliter melalui BUDI95, dan harga bersubsidi diesel pada RM2.15 dan RM1.88 seliter masing-masing menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) and Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
Azizul Azily berkata penyelarasan harga penting bagi mengelakkan migrasi bekalan apabila pembelian luar biasa secara mendadak boleh mengakibatkan isu kehabisan bekalan (stock-out) di sesetengah lokasi, sekali gus menjejaskan kelancaran mobiliti rakyat.
Mengulas mengenai pengurusan operasi, beliau berkata BHPetrol menguruskan 420 rangkaian stesen dengan sokongan sistem pemantauan masa nyata bagi memastikan setiap premis mempunyai bekalan yang mencukupi untuk menampung permintaan.
Beliau berkata sistem tersebut membolehkan syarikat mengesan paras bekalan secara automatik dan mengatur penghantaran segera dari depo, terutamanya apabila berlaku pergerakan harga yang mendorong peningkatan permintaan secara tiba-tiba di peringkat runcit.
Menerusi formula APM, margin syarikat dan pengusaha stesen telah ditetapkan bagi memastikan pemain industri terus mampan walaupun harga minyak dunia melonjak tinggi, katanya.
Azizul Azily berkata sistem tersebut membolehkan syarikat mengesan paras bekalan secara automatik dan mengatur penghantaran segera dari depoh, terutamanya apabila berlaku pergerakan harga yang mendorong peningkatan permintaan secara tiba-tiba di peringkat runcit.
Beliau berkata pelaksanaan SKDS 1.0 dan 2.0 sudah memadai untuk menyerap tekanan kos bagi sektor pengangkutan barangan harian dan perkhidmatan awam selepas penyelarasan harga dilakukan.
“Melalui penggunaan kad flit (fleet card) dan kad tunai, pengusaha yang layak masih menikmati harga subsidi, yang secara teorinya bermakna tiada keperluan untuk kenaikan harga barangan keperluan dilakukan oleh pihak industri secara sewenang-wenangnya,” katanya.
Mengenai amaran Iran bahawa harga minyak boleh melambung sehingga US$200 setong, Azizul Azily berkata industri pernah mengalami situasi harga minyak melonjak melebihi paras US$150 setong pada 2008, namun yang lebih membimbangkan adalah sekiranya bekalan tenaga dari Asia Barat tidak dapat dihantar ke wilayah ini.
Beliau berkata lonjakan harga pada paras tersebut bukan sahaja akan memberi tekanan kepada dana subsidi kerajaan, malah akan memberi kesan langsung kepada kos perkapalan dan logistik global yang membawa masuk produk petroleum ke negara ini.
"Cabaran kita bukan sekadar harga bahan mentah, malah juga keupayaan untuk memastikan kontrak logistik dan penghantaran tidak terjejas sekiranya syarikat perkapalan mula menarik diri akibat risiko keselamatan di laluan perdagangan utama," katanya.
-- BERNAMA